KUALA TERENGGANU: Bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Perikanan Rantau Abang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan bersubahat bersama tiga pengurus syarikat mengemukakan tuntutan palsu.

Tertuduh, Syed Abdullah Syed AbdulKadir, 57, mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan tiga pengurus syarikat termasuk Muhammad Azmi Abdullah, 43, dan Azlin Md Ashaari, 54, mengemukakan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM9,000.

Kesalahan itu dilakukan di Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Dungun antara 23  April 2018 hingga 19 September 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 471 kanun yang sama.

Bagi kesemua kesalahan itu, Syed Abdullah didenda sebanyak RM30,000.

Sementara itu, Azlin dan Muhammad Azmi didakwa mengemukakan satu dokumen iaitu invois palsu masing-masing bernilai RM2,400 dan RM2,800.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama antara Mei 2018 hingga September 2018.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 KK.

Kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan masing-masing didenda sebanyak RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.