PASIR PUTEH: 20 tahun menghuni penjara, bukan mudah untuk bekas banduan menyesuaikan diri selepas dibebaskan.

Namun bagi Che Sabri Che Jaafar, 51, kebebasan diperoleh selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah tahun lepas digunakan untuk membina hidup baharu sebagai tukang jahit.

Bagi Che Sabri, 20 tahun usianya di sebalik tirai besi dan kedatangan Ramadan kali ini amat bermakna buat dirinya.

"Harapan saya ingin kembangkan lagi dalam perniagaan jahit selain memiliki sebuah kedai.

"Saya juga ingin membantu bekas penghuni menjahit. Setakat ini saya sudah ambil 100 orang untuk membantu saya," katanya.

Kata Che Sabri, menjalani ibadat puasa di rumah bersama keluarga kali pertama tahun ini amat bermakna buatnya selepas dua dekad berpuasa di dalam sel penjara.

Anak ketujuh daripada 10 beradik dari Pulai Chondong, Machang ini turut menitip nasihat kepada rakyat Malaysia supaya menghargai erti kebebasan dan sentiasa menjaga diri agar tidak terjerumus dalam perkara jenayah.

Dia kini mengusahakan sebuah kedai jahit yang dibuka Oktober tahun lepas.

Sepanjang Ramadan, Che Sabri tidak menang tangan menerima tempahan baju melayu dan jubah lelaki yang perlu disiapkan sebelum Aidilfitri.

Che Sabri antara pengikut Al Maunah yang ditahan kerana melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong dalam tragedi Sauk satu  ketika dahulu.

Namun, dia antara 13 penghuni penjara yang mendapat pengampunan Agong pada Ogos tahun lepas sebelum dibebaskan.