KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus Bahagian Pengurusan Harta Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan memindahkan RM40,000 hasil daripada aktiviti wang haram ke dalam akaun bank peribadinya, tiga tahun lalu.

Dicky Rahmat Abdullah, 50, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM40,000 daripada akaun Maybank milik sebuah syarikat ke akaun Maybank miliknya, di Maybank Islamic, Cawangan Taman Setiawangsa, di sini pada 8 September dan 9 Disember 2021 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor kerana Dicky Rahmat telah dituduh atas pertuduhan lain, pada minggu lalu.

“Saya mohon mahkamah mengguna pakai jaminan sama seperti yang ditetapkan (Mahkamah Sesyen Shah Alam) iaitu sebanyak RM60,000," katanya.

Sementara itu, peguam, Diar Isda Yazmin Ismail yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pendakwaan untuk pemindahan kes.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu dan menetapkan 3 April depan untuk sebutan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 14 Februari lalu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas 10 pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian