Seorang bekas Penolong Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan invois palsu berhubung perkhidmatan makan dan minum berjumlah RM6,000, tiga tahun lalu.

Fatihah Azmi, 32, didakwa memberi tiga invois yang masing-masing bernilai RM2,000 kepada seorang ejen iaitu pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah untuk perkhidmatan pembekalan makanan sempena Karnival Perpaduan peringkat Parlimen Masjid Tanah bersama Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen), di PKD Alor Gajah pada Oktober 2017.

Perkhidmatan pembekalan makanan dan minuman itu bagaimanapun tidak dilakukan dan tertuduh ketika kejadian bertugas di JPNIN Alor Gajah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah butiran palsu yang dapat dinilai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak pendakwaan iaitu dengan curang memperdaya pegawai perubatan yang sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Mohd Nasir Mohd Nordin membenarkan Fatihah diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 7 Okt depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM R. Francine Cheryl, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA