Sepasang suami isteri maut setelah kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Km 47, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan Kampung Pasir Putih, di sini petang ini.

Kemalangan kira-kira 5.00 petang itu berlaku apabila sebuah lori seberat satu tan yang dalam perjalanan dari arah Dungun ke Kuala Terengganu dikatakan memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu, Mohamed Hanafi Abdul Manaf, 62, bekas Penyelia Teknikal Percetakan NSTP di Kuala Lumpur, dan isterinya Rabiah Mat Hussin, 55, yang berasal dari Dungun maut di tempat kejadian.

Pasangan terbabit cedera parah di bahagian kepala selain kecederaan dalaman serta patah kaki.

Manakala pemandu lori terbabit dan kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritenden Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.