KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam mendakwa seorang bekas remisier, Peter Chuah Hock Heng atas tuduhan menipu pelabur dan terlibat dalam aktiviti pasaran modal tidak berlesen. 

Peter, 44, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kesalahan membuat representasi palsu mengenai skim pelaburan yang dikatakan melibatkan pembelian sekuriti dan kesalahan itu didakwa dilakukan antara Februari dan April 2014 di Petaling Jaya. 

"Bagi dakwaan itu, dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menipu pelabur.  

"Jika sabit kesalahan, Chuah berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta," kata SC dalam satu kenyataan, hari ini. 

Bagi pertuduhan berkenaan, hakim Mahkamah Sesyen, Datin Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan.  

Selain itu, Peter juga menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 58(1) CMSA kerana menyatakan dirinya menjalankan perniagaan dalam urusan sekuriti tanpa lesen.  

Urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 CMSA dan mana-mana orang yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC. 

"Kesalahan ini membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya. 

Bagi pertuduhan berkenaan, Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat jaminan tambahan yang sama seperti mahkamah sebelumnya.  

Bagaimanapun, dia meminta untuk dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu di dua mahkamah berasingan. 

SC mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum melabur dan ketika mempertimbangkan peluang pelaburan.  

Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan/tidak berlesen.  - Dagang News