Bekas setiausaha sulit kepada Ahli Parlimen Tebrau mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan menipu dan memperdaya dengan nilai keseluruhan RM39,450 di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Pengakuan dibuat di hadapan Majistret Haffiza Jemali.

Tertuduh Saswin Nair V. Suresh, 27 tahun, faham ketika semua pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Saswin Nair melakukan semua perbuatan itu antara November 2018 hingga Julai 2019 di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Kesemua pertuduhan melibatkan enam mangsa berbeza dengan nilai penipuan antara RM150 (baucar) hingga RM15,000.

Penipuan tertuduh terhadap semua mangsa melibatkan baucer kembali ke sekolah, deposit rumah mampu milik di Taman Daya dan juga pembelian emas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan 417 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew dan Adilah Nur Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes.