SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah semalam, dituduh lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas satu kes meminta suapan RM350,000 berhubung tender pembekalan alat baiki berjumlah RM381 juta, empat tahun lalu.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, yang memakai kot berwarna biru, mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

"Faham, saya mohon dibicarakan," kata bekas setiausaha kepada bekas Menteri Dalam Negeri terbabit.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa meminta suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan, syarikat Nexuscorp Group, Wan Azhar Mohamed Yusof, di pejabat syarikat itu, di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, di sini pada jam 4 petang, Disember 2020 lalu.

Ia didakwa sebagai upah membantu syarikat mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kementerian Dalam Negeri bernilai RM381,112,042.44.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farhana Ismail memohon mahkamah menggunapakai ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali setiap bulan.

“Kami juga memohon untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, peguam, Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir tidak membantah cadangan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Awang Kerisnada membenarkan permohonan berkenaan termasuk penetapan tarikh sebutan semula kes, di Kuala Lumpur pada 12 Julai depan. - Sinar Harian