GOMBAK: [DIKEMAS KINI] Seramai tiga individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki melarikan seorang remaja perempuan di hadapan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa berusia 42 pada jam 10.36 pagi.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati wanita itu telah dimaklumkan oleh guru berhubung kejadian tersebut.

"Pelajar Tingkatan Lima itu telah dilarikan oleh seorang lelaki warga tempatan dan seorang perempuan warga tempatan dengan menggunakan sebuah kereta," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Noor Ariffin berkata, remaja tersebut dibawa ke sebuah 'homestay', sebelum dilepaskan pada jam 12 tengah hari pada hari sama.

"Kita telah menahan tiga individu berusia 19 hingga 22 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Toyota warna putih dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan, mangsa mengenali salah seorang suspek yang merupakan bekas teman lelakinya.

"Suspek tidak puas hati kerana mangsa memutuskan perhubungan, mangsa tidak dicederakan sepanjang tempoh mangsa dilarikan dan dikurung," katanya.

Noor Ariffin berkata, kesemua suspek telah direman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Yap Ching Chua di talian 019-9969649, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya. - Sinar Harian