Seorang bekas tentera berpangkat koperal bakal meringkuk di penjara seumur hidup apabila dijatuhi hukuman penjara 197 tahun dan 79 sebatan atas kesalahan menyalahgunakan harta Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), di Kem Sungai Udang, Melaka dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Musa Md Dawi, 28 tahun, yang mengaku bersalah terhadap 79 pertuduhannya di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Hakim turut menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan hukuman tersebut dijalankan serentak.

Tertuduh yang bertugas sebagai kerani gaji di bahagian sel belanjawan PULPAK, didapati menyalahgunakan peruntukan iaitu mencipta 43 baucer bayaran elaun perjalanan dan cuti bagi 79 penama yang kononnya anggota yang bertugas di pusat latihan itu, berjumlah RM50,238.10.

Sebanyak RM46,281.10 telah dimasukkan ke dalam akaun CIMB dan Maybank miliknya manakala baki dimasukkan ke dalam akaun dua individu lain.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Belanjawan PULPAK antara 25 April 2016 hingga 1 Julai 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.