SHAH ALAM: Bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM100,000.

Dr Mohd Azhar Mohamed Ali, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua pertuduhan, Mohd Azhar, didakwa sebagai YDP MDKL kini merupakan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah menerima untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki dan beliau mengetahui bahawa ia berkaitan dengan tugasan rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di MDKL, Banting dan di sebuah rumah serta pusat peranginan di Sepang antara 14 Julai 2017 dan 30 April 2019 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noryusriza Zulkifli menawarkan jaminan RM100,000 dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Ariff Azami Hussein memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan alasan tertuduh menanggung sembilan anak dan lapan daripadanya masih bersekolah selain isterinya seorang suri rumah.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Azhar diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap awal bulan.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Rozilah kemudian menetapkan 26 Okt ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

-- BERNAMA