KUALA LUMPUR:Belanjawan 2021 memperuntukkan RM16 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan dan RM17 bilion  untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pada masa sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan penyelenggaraan aset-aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula dinaikkan kepada RM2.3 bilion bagi tahun 2021 berbanding RM2 bilion sebelum ini.

"Kerajaan amat mengambil berat berkaitan isu kedaulatan negara. Kerajaan telah melaksanakan Ops Benteng bagi memastikan kawasan sempadan negara sentiasa dikawal dan tidak dibolosi.

"Operasi bersepadu ini diselaraskan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) melibatkan pelbagai agensi seperti ATM, PDRM, Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan beberapa yang lain," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.

Selain itu, dalam menangani kegiatan jenayah siber yang kian meningkat, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM27 juta  kepada CyberSecurity Malaysia untuk meningkatkan kawalan keselamatan.

"Kerajaan juga sentiasa memastikan kebajikan anggota tentera tidak terabai. Selain terus menyelenggara kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera  sedia ada, Kerajaan turut meluluskan pembinaan sebanyak hampir 1,000 buah unit baharu dengan kos keseluruhan berjumlah hampir RM500 juta.



Katanya, kerajaan turut menghargai peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang turut sama membantu dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

"Sebanyak RM153 juta akan disediakan termasuk menaik taraf kemudahan di pusat latihan bagi mengukuh peranan RELA," ujarnya. 


PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021