KUALA LUMPUR:Kerajaan akan menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan daripada syarikat penerbangan di Malaysia yang terkesan ekoran pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta.

"Kerajaan sedar bahawa sektor pelancongan terutamanya syarikat penerbangan merupakan antara sektor yang paling terkesan.

"Sehubungan itu, kerajaan akan menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan dari syarikat penerbangan di Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM50 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, bagi merancakkan segmen ekopelancongan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 500 orang daripada komuniti setempat dan Orang Asli sebagai jurupandu pelancong di semua taman negara.

Sementara itu, bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong, sebanyak RM50 juta disediakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.

Katanya sejumlah RM20 juta juga diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-Kampung Budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

"Pada masa yang sama, kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta bagi memastikan bangunan warisan kebangsaan seperti bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara terus kekal terpelihara dan menjadi ikon pelancongan," katanya.

Dalam pada itu katanya, melihat industri pelancongan kesihatan berpotensi sebagai pelaburan baharu negara, maka kerajaan memperuntukkan RM35 juta kepada Malaysia Healthcare Travel Council bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan.

"Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian cukai pendapatan bagi eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sehingga tahun 2022," jelasnya.