KOTA KINABALU : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang membuat unjuran secara menyeluruh agar peruntukan Belanjawan 2023 yang diterima kementerian itu dapat diagihkan secara adil termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia penting bagi memastikan tiada pihak tercicir daripada senarai penerima.

"Kita sedang melihat dan juga melakukan unjuran supaya pembahagian peruntukann itu adil.

"Jadi kita pasti semua akan dapat, cuma dari segi unjuran itu kita akan lihat beberapa formula untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam senarai penerima dan mereka yang betul-betul memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Pembelajaran Digital 2023 di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Pada masa sama, perhatian terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menjadi keutamaan KPM dengan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi tujuan program pemulihan pelajar keciciran.

"RM15 juta juga diberikan kepada NGO-NGO untuk program pemulihan pelajar keciciran yang saya fikir NGO harus sambut dengan segera.

"Memandangkan sekarang kita sedang berhadapan dengan bagaimana kita melaksanakan program-program berkait rapat dengan pemulihan keciciran ini," jelasnya.

Tambah Fadhlinah, KPM turut komited dalam memastikan penyampaian sebanyak 50 ribu unit komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM akan disegerakan.

Terdahulu, dalam pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan KPM menerima peruntukan tertinggi, iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas.