PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023 memberi impak optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras digariskan bagi melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata peruntukan tertinggi diterima iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas akan memacu komitmen berterusan KPM untuk meningkatkan lagi kualiti infrastruktur sedia ada di sekolah-sekolah.

KPM berkata antara fokus utama kementerian dalam Belanjawan 2023 adalah meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan guru serta murid-murid.

Katanya Belanjawan 2023 juga menyaksikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan dan mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.

Antara peruntukan Belanjawan 2023 adalah RM2.3 bilion untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah-sekolah termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur 380 sekolah daif seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas, selain RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sebanyak RM560 juta juga diperuntukkan untuk pembinaan tujuh sekolah baharu antaranya SK Paya Dusun di Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Peruntukan itu juga bagi melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), selain RM15 juta untuk menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.

KPM juga menerima peruntukan RM777 juta berbanding RM625 juta tahun lepas untuk menyediakan makanan berkhasiat di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700,000 murid.

Selain itu, RM108 juta diperuntukkan untuk Program Makanan Prasekolah di bawah KPM yang akan memanfaatkan lebih 240,000 murid.

Menurut KPM, pemantauan ke atas penyedia makanan akan dibuat bagi memastikan makanan disediakan berkualiti dan berkhasiat selain komited untuk mengatasi isu kemiskinan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah melalui program-program tersebut.

Selari dengan arus pemodenan, KPM berkata keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital, justeru kerajaan juga akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 komputer riba pada tahun ini yang juga selaras dengan teras ketujuh KPM dalam meningkatkan keupayaan digital di sekolah.

Bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah, KPM berkata RM20 juta diperuntukkan bagi perlaksanaan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada tiga buah agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di bawah KPM.

-- BERNAMA