KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi tumpuan kepada pembangunan dan kemaslahatan madrasah dan maahad tahfiz di negara ini, selari dengan prinsip tatakelola kerajaan yang berteraskan keterangkuman menyeluruh.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PINTA, Mohd Zahid Mahmood Al-Hafiz berkata, konteks pembangunan madrasah yang dituntut dalam Belanjawan 2024 termasuk bajet yang mencukupi dan insentif sewajarnya untuk pelajar.

"Yayasan PINTA menggesa kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan dan kemaslahatan madrasah tahfiz menerusi bajet yang adil serta mencukupi, bagi membantu madrasah supaya mampu menepati syarat-syarat yang melayakkan mereka mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

"Kami juga menuntut pemberian insentif yang wajar kepada mana-mana individu/organisasi yang membantu madrasah tahfiz dalam apa cara yang bermanfaat," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Mohd Zahid juga memohon kerajaan untuk meneruskan segala agenda di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

"Ia bertujuan memastikan libat urus yang inklusif sentiasa dilakukan dengan madrasah tahfiz di akar umbi, sebagai pemegang taruh utama DPTN.

"Dan supaya pembangunan dan pelaksanaan DPTN dilaporkan terus kepada kepimpinan tertinggi negara bagi memastikan lepasan tahfiz dapat menjadi sumber daya insani negara yang cemerlang," tambahnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan, kebajikan dan pembangunan institusi madarasah terus diberi penekanan sewajarnya.

Katanya, perhatian khusus yang boleh diberikan oleh kerajaan secara tidak langsung dapat memberi runag kepada masyarakat Islam di negara ini untuk mempelajari dan menghafal al-Quran dengan mudah dan berkualiti. 

Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) merupakan persatuan institusi tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

PINTA Kebangsaan dianggotai oleh 14 buah persatuan tahfiz yang mewakili 14 negeri di Malaysia. Sehingga kini, sebanyak 1,109 madrasah bernaung di bawah PINTA Kebangsaan.