KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak akan menutup atau menghentikan pemberian lesen baharu kepada kontraktor termasuk G1 walaupun wujud dakwaan terlalu banyak pesaingan dalam industri pembinaan ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian mengamalkan prinsip terbuka, dengan sesiapa sahaja yang terlibat dalam bidang ini diberikan peluang yang sama mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

Begitu pun, menurut beliau, KKR akan mencari kaedah bagi membantu menangani isu permohonan pendaftaran lesen baharu yang terlalu banyak dan masalah tidak cukup kontrak dalam kalangan kontraktor.

"Jadi kaedah yang mungkin perlu kita ambil adalah mereka yang sudah sekian lama, G1 perlu lah, bagaimana mereka boleh naik ke taraf lebih besar lagi seperti G2 atau G3 supaya ada ruang kepada mereka yang baru di G1.

"... yang kita dapati masalahnya ramai yang tidak mahu meninggalkan (G1) kerana G1 ini mudah, kerana dapat cabut undi, dia dapat (kontrak). Manakala, G2, G3 atau G4 memerlukan tender dan sukar untuk mendapatkan peluang.

"Kita faham masalah sebegini cuma itu agak drastik (menutup permohonan baharu). Walaupun demikian, kita kena kaji dulu. Kalau tutup pun, tidak lah kita akan tutup selama-lamanya. Mungkin tutup dalam satu masa, dan  buka lagi seperti yang dibuat dulu tetapi ini memerlukan kajian kerana tidak mahu terlalu drastik menutup pendaftaran baharu," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas hadir Dialog Belanjawan 2024 Kementerian Kerja Raya bersama lebih 100 penggiat dan wakil industri pembinaan di sini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata KKR juga telah memohon peruntukan tambahan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dalam Belanjawan 2024, termasuk memberi tumpuan kepada kontraktor kategori G1.

Namun demikian, beliau enggan mendedahkan peratusan kenaikan peruntukan yang dimohon dalam Belanjawan 2024, yang dijadual dibentangkan pada 13 Oktober ini.

"Kita baru-baru ini ada berjumpa dengan pihak MoF dan semasa perjumpaan itu KKR mohon agar ditambah ini (peruntukan G1) untuk tujuan yang sama kerana kita faham untuk G1 ini, ramai yang kehilangan kerja akibat COVID-19, dianggarkan 60,000 telah didaftarkan di seluruh negara dan memang mereka memerlukan (untuk membantu) pendapatan mereka.

"Oleh itu, KKR sangat mengetahui keperluan ini dan telah memohon dalam belanjawan 2024. Tetapi kita tidak tahu ada penambahan atau pun tidak," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Alexander memaklumkan ketika sesi Dialog Belanjawan 2024, penggiat dan wakil industri pembinaan telah mengemukakan beberapa cadangan baharu kepada KKR seperti menyalurkan bantuan bagi membantu syarikat-syarikat yang masih belum pulih ekoran COVID-19.

Selain itu, beliau berkata turut dibangkitkan ialah lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia yang berdaftar sebagai kontraktor dalam Belanjawan 2024.

KKR juga menyasarkan beberapa inisiatif di bawah Pemerkasaan Pendigitalan Sektor Pembinaan menjelang 2030 termasuk pertumbuhan sektor pembinaan dijangka mencapai sebanyak 10.3 peratus menerusi Dasar Pembinaan Negara.

Dalam Belanjawan 2023, KKR menerima peruntukan sebanyak RM8.136 bilion dengan kenaikan 11 peratus berbanding RM7.306 bilion yang diterima pada tahun 2022.

Jumlah bajet yang diluluskan bagi menguruskan kementerian itu adalah sebanyak RM865.27 juta berbanding RM823.5 juta yang diterima untuk tahun 2022.

Selain itu, peruntukan RM500 juta bagi projek membabitkan kontraktor dalam kategori G1 hingga G4 untuk projek pembaikan dan penyelenggaraan melibatkan pembaikan infrastruktur awam rosak akibat banjir, jalan persekutuan, rumah ibadat, titi dan jambatan kecil.