KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyambut baik Belanjawan 2024 dibentangkan semalam, yang memberi fokus kepada usaha melaksanakan reformasi ekonomi dan memperkasa rakyat.

Dalam satu kenyataan, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN akan terus komited untuk bersama menggerakkan agenda subsidi bersasar khususnya dalam konteks mengurangkan ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penguatkuasaan.

"KPDN akan memastikan peruntukan sejumlah RM10 juta yang disalurkan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan digunakan untuk memastikan amalan kartel dan pakatan harga, yang memberikan impak negatif kepada rakyat dan negara, akan dapat diatasi dan ditangani dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, usaha pembelian produk tempatan juga akan diperhebatkan melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

"Program Pengukuhan Francais bagi meningkatkan eksport yang menerima peruntukan sebanyak RM10 juta akan menjadi platform bagi francaisor tempatan mengembangkan perniagaan dan jenama Malaysia ke pasaran antarabangsa.

"Kebajikan penduduk luar bandar juga akan terus diberi perhatian dengan memastikan ketersediaan bekalan barang keperluan asas menerusi Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan Community Drumming," jelasnya lagi.

Sebanyak RM225 juta diperuntukan bagi membiayai program sedia ada termasuk peluasan ke kawasan baharu antaranya di Zon Abai, Sandakan, Sabah dan Engkerabai, Mukah, Sarawak.

Begitu juga, peruntukan sebanyak RM200 juta akan disalurkan untuk pelaksanaan Program Jualan Rahmah dan Pasar Rahmah bagi membolehkan golongan sasar daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga yang lebih rendah.

Susulan itu, KPDN akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna dilindungi dan pada masa yang sama sektor peruncitan dan perdagangan domestik negara berkembang maju.