Seoul anggap Malaysia sebagai pintu gerbang strategik ke ASEAN - Duta

Seung-bae berkata kelebihan geografi Malaysia, kestabilan politik serta komitmen jangka panjang terhadap prinsip kepusatan ASEAN mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan, pelaburan dan keterhubungan serantau. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Korea Selatan melihat Malaysia sebagai pintu gerbang strategik ke ASEAN, mencerminkan kepentingan Malaysia yang semakin meningkat dalam penglibatan serantau Seoul ketika Asia Tenggara terus muncul sebagai antara pusat utama pertumbuhan ekonomi global.
Ringkasan AI
- Malaysia merupakan pintu gerbang strategik ke ASEAN menurut pandangan Korea Selatan, disokong oleh peranan utama Malaysia dalam kawasan ASEAN dan kedudukan geografi yang strategik yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik.
- Kepentingan Korea terhadap Malaysia mencerminkan peralihan global yang melibatkan minat yang semakin meningkat terhadap rantau Asia Tenggara, terutamanya dalam aspek ekonomi, diplomasi, dan kerjasama dua hala.
- Malaysia diiktiraf sebagai hab perdagangan, pelaburan, dan keterhubungan serantau yang penting, memberikan impak positif terhadap daya tariknya sebagai rakan strategik dan kemampuannya untuk menyumbang kepada kemakmuran serta kestabilan serantau jangka panjang.
Beliau berkata kelebihan geografi Malaysia, kestabilan politik serta komitmen jangka panjang terhadap prinsip kepusatan ASEAN mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan, pelaburan dan keterhubungan serantau.
Yeo berkata minat Korea yang semakin meningkat terhadap Malaysia juga mencerminkan peralihan global yang lebih luas, apabila negara dan syarikat berusaha mempelbagaikan rantaian bekalan berikutan ketidaktentuan geopolitik, trend perlindungan perdagangan dan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan kuasa besar.
"Populasi muda ASEAN, pasaran pengguna yang berkembang dan sumber yang melimpah menawarkan peluang besar dan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menghubungkan perniagaan serta industri Korea dengan kekuatan serantau ini," katanya.
Selain pertimbangan ekonomi, beliau turut menekankan diplomasi Malaysia yang aktif dan seimbang sebagai faktor utama yang meningkatkan daya tarikannya sebagai rakan strategik. Keupayaan Malaysia mengekalkan hubungan konstruktif dengan semua kuasa besar, katanya mengukuhkan kredibilitinya sebagai pemudah cara dan penyelaras serantau.
Yeo berkata pengukuhan kerjasama dua hala, termasuk kemajuan dalam perjanjian perdagangan dan kerjasama sektor khusus, sejajar dengan strategi lebih luas Korea untuk menambat kehadirannya di Asia Tenggara melalui rakan yang dipercayai dan boleh diharapkan.
Ketika kepentingan ekonomi dan strategik ASEAN terus meningkat, katanya penekanan Korea terhadap Malaysia menzahirkan kepercayaan yang penglibatan berkesan dengan rantau ini paling baik dilaksanakan melalui negara yang menggabungkan keterhubungan, kestabilan dan kematangan diplomatik.
Bagi Malaysia, diiktiraf sebagai pintu gerbang ke ASEAN mencerminkan aspirasinya untuk melaksanakan peranan serantau yang proaktif, memanfaatkan kedudukannya bagi menarik pelaburan, memperluas perkongsian serta menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan serantau jangka panjang.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


