KUALA LUMPUR: Suntikan peruntukan RM200 juta bagi inisiatif Payung Rahmah untuk tahun depan menerusi Belanjawan 2024 Malaysia MADANI mencerminkan keprihatinan dan usaha berterusan Kerajaan Perpaduan membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.

Keputusan kerajaan meneruskan serta memperkasakan inisiatif Payung Rahmah yang meliputi program Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Bakul Rahmah disifatkan wajar kerana ia amat membantu masyarakat khususnya golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan rakyat khususnya golongan sasar menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan kerana menyediakan peruntukan besar bagi inisiatif Payung Rahmah dan berharap program itu dapat diperluas dan dinikmati golongan memerlukan.

Seorang jurutera dari Selangor Nurul Aida Sharol, 38, berkata program Payung Rahmah dilihat berjaya membantu rakyat terutama golongan B40 termasuk penuntut universiti dalam mengurangkan beban kos sara hidup.

"Kenaikan harga mendadak seperti makanan asas begitu membebankan rakyat, dengan adanya program sebegini sedikit sebanyak melegakan mereka. Sebagai contoh program menu rahmah yang sangat-sangat membantu penuntut universiti," katanya.

Suri rumah Rosyatimah Mohamad, 48, menzahirkan penghargaan selain menyambut baik usaha kerajaan meneruskan program itu yang dilihat sebagai antara inisiatif terbaik membantu rakyat berbelanja pada harga lebih rendah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan bertemakan 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat' semalam, turut mengumumkan program Jualan Rahmah akan diperluas ke lebih banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain meneruskan program Pasar Rahmah.

Seorang juruteknik kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang dekat sini Mohamed Zaini Mazlan, 40, berkata sejak inisiatif itu diperkenalkan kerajaan, beliau menggunakan peluang itu sebaiknya untuk membeli barangan keperluan pada harga lebih murah sekali gus membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga.

"Saya ada empat orang anak yang bersekolah dan isteri pula buat kuih letak di gerai-gerai bagi membantu saya... jadi Jualan Rahmah adalah tempat yang paling jimat untuk berbelanja barang keperluan kerana harganya lebih murah," katanya.

Sementara itu jurujual di sebuah pusat membeli belah, Lee Yan Yan, 36, berkata Jualan Rahmah menjadi pilihan beliau sekeluarga, bukan sahaja kerana harga yang jauh lebih murah, malah barangan yang dijual juga berkualiti dan segar.

Bagi ibu tunggal di Melaka, Rosnany Amir Shah, 37, pula beliau bersyukur kerana inisiatif Payung Rahmah diteruskan tahun hadapan, dan beliau mencadangkan agar lokasi program itu diperluas terutama di kawasan bandar dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

"Ramai yang bergantung kepada program Jualan Rahmah serta Menu Rahmah dan ia perlu dimantapkan dari segi kepelbagaian produk selain diperluaskan ke kawasan bandar kerana yang terdapat ramai golongan B40 menetap di lokasi berkenaan," katanya.

Bagi penghantar makanan Kamal Izham, 23, beliau mengakui inisiatif itu banyak membantu mengurangkan kos perbelanjaan, bagaimanapun katanya terdapat penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan ia sampai ke golongan sasar dan memberi impak jangka panjang.

"Sejak adanya Menu Rahmah, saya dah tak takut nak beli makanan kerana tahu ia murah dan sesuai dengan bajet saya sebagai seorang penghantar makan dan Jualan Rahmah yang membolehkan kami beli barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah," katanya.

-- BERNAMA