KUALA LUMPUR: Institut Pengurus Hartanah dan Fasiliti Malaysia (MIPFM) berharap kerajaan akan menyemak semula tarif elektrik bagi penghuni strata, terutamanya pangsapuri berservis yang hanya dikhususkan untuk kegunaan kediaman.

Menurut MIPFM dalam kenyataan, badan itu turut berharap akan ada pengurangan cukai ke atas panel solar bagi kegunaan kediaman (bagi kediaman atas tanah dan strata) dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan 13 Okt ini.

Ini bagi menarik lebih ramai pemilik rumah menggunakan panel solar, selari dengan cadangan komprehensif kerajaan mengenai perumahan strata dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 yang menyasarkan kepada "Penambahbaikan Pengurusan Perumahan Strata' di seluruh negara.

"Pengurusan strata memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk, kelestarian komuniti dan nilai hartanah.

"Kami turut berharap terdapatnya pengurangan dalam kadar penilaian kediaman bagi pemilik kediaman atas tanah yang melakukan aktiviti kelestarian atau langkah-langkah bangunan hijau," menurut kenyataan itu.

Aktiviti tersebut termasuk membuat kompos, menadah air hujan, menjana elektrik daripada panel solar dan mengurangkan penggunaan tenaga menggunakan sensor rumah pintar dan menggunakan perkakas elektrik cekap tenaga.

Selain itu, MIPFM turut berharap agar geran kerajaan bagi mengecat semula perumahan strata awam diwujudkan semula, selain mengumumkan bajet tambahan untuk Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bagi menampung kadar penilaian dan insurans kebakaran.

MIPFM merupakan institut profesional bagi pengurus hartanah dan kemudahan dengan 1,000 anggota.

-- BERNAMA