Skip to main content

Malaysia

PKNS sasar ekosistem industri bersepadu, bukan sekadar pembangunan kilang

[TB]_GRIP PKNS_GRIP
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi Green Industrial Park (GRIP) Kota Puteri menekankan kepentingan industri bersepadu untuk menarik pelaburan berkualiti ke dalam negara.
Advertisement

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan pembangunan ekosistem industri bersepadu yang menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pelabur, bukan sekadar menyediakan tanah dan bangunan kilang.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PKNS, Fadli Mohd Ariff berkata, pendekatan itu diterapkan menerusi pembangunan Green Industrial Park (GRIP) Kota Puteri, yang dirancang sebagai taman industri terurus dengan kemudahan sokongan, infrastruktur moden dan elemen kelestarian.

“Bagi kami, ia bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, bukan hanya membeli
tanah dan membina bangunan.

“Kami perlu memikirkan aspek kesalinghubungan, komponen ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) serta peranan pengurus taman industri.

“Jadi, kami cuba menyediakan pakej yang lebih menyeluruh,” katanya dalam temu bual segmen Investment Insider bersama Astro AWANI.

Menurut Fadli, GRIP Kota Puteri dibangunkan dengan pendekatan berasaskan kluster, meliputi sektor elektrik dan elektronik (E&E), makanan dan minuman (F&B) serta automotif, berdasarkan kajian pasaran dan pandangan pemain industri.

Katanya, pendekatan itu membolehkan industri berkaitan ditempatkan secara strategik bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang saling melengkapi, selain
memenuhi keperluan operasi syarikat.

“Matlamatnya adalah untuk mewujudkan satu ekosistem yang hampir merangkumi semua keperluan untuk beroperasi dan berjaya dalam taman industri, kami di PKNS cuba menyediakan perkhidmatan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fadli berkata, aspek ESG diterapkan sejak peringkat awal perancangan GRIP, termasuk penyediaan sistem penuaian air hujan, panel solar di bumbung dan kemudahan pengecas kenderaan elektrik.

GRIP Kota Puteri turut memperoleh pensijilan Green Real Estate atau GreenRE iaitu sistem penarafan bangunan hijau di Malaysia.

Menurutnya lagi, PKNS menggalakkan syarikat yang beroperasi di taman industri berkenaan mempertimbangkan piawaian seperti Green Building Index (GBI) dan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED).

Fadli berkata, tuntutan ESG yang semakin meningkat, khususnya dalam pasaran eksport, menjadikan elemen kelestarian semakin penting kepada daya saing syarikat.

Selain infrastruktur fizikal, PKNS turut menekankan aspek sosial melalui penyediaan Centralised Labour Quarters (CLQ), rumah kelab (clubhouse) serta perkhidmatan pengurusan taman industri merangkumi keselamatan, penyelenggaraan dan pembersihan.

Tambah Fadli, rumah kelab bukan sekadar ruang pertemuan, malah berpotensi menjadi pusat pameran dan pendidikan bagi syarikat memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pelabur.

Mengulas hala tuju seterusnya, Fadli berkata, PKNS turut meneliti peluang dalam industri ‘niche’ dan pembuatan termaju (advanced manufacturing), selain sektor konvensional seperti E&E, F&B dan automotif.

“Kami cuba menjangka perubahan yang berlaku dan menyesuaikan perancangan induk mengikut perkembangan semasa.

“Masa depan pembuatan masih luas, bukan hanya tertumpu kepada kecerdasan buatan (AI) dan pusat data,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama dengan agensi pelaburan, Invest Selangor penting bagi memperkukuh usaha menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa, sekali gus meletakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement