Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Belanjawan 2027 dijangka rancakkan industri halal negara, perluas pasaran antarabangsa - Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan ditemui media pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH26) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan ditemui media pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH26) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

BANGI: Pelbagai inisiatif dan insentif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka merancakkan lagi pembangunan industri halal negara, khususnya dalam memperluas pasaran antarabangsa bagi pemain tempatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Beliau berkata Malaysia bukan sahaja mahu memastikan industri halal terus berkembang dalam pasaran domestik malah berhasrat membawa lebih ramai pemain tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Kita ingin melihat negara kita bukan hanya sektor halal itu subur pada peringkat domestik, tetapi juga kita ingin membawa pemain-pemain tempatan kita ke peringkat antarabangsa.

“Dan kita mempunyai potensi yang sangat luas kerana kita menjadi rujukan dunia daripada aspek halal ini, khususnya pensijilan yang diterajui oleh JAKIM,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH26) dan melancarkan Global Halal School (GHS) di sini, hari ini.

Zulkifli berkata Malaysia mempunyai ekosistem halal yang lengkap dengan pelbagai agensi memainkan peranan masing-masing dalam menyokong pembangunan sektor berkenaan.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Kerajaan MADANI terus komited untuk memperkasakan syiar Islam, dan kebajikan ummah menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi selaras dengan peningkatan peruntukan hal ehwal agama kepada RM3.1 bilion dalam Belanjawan 2027 berbanding RM2.6 bilion tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata eksekutif halal adalah antara komponen penting dalam ekosistem itu, dan berperanan memastikan prinsip halal diterapkan secara menyeluruh dalam operasi industri.

Zulkifli berkata tanggungjawab eksekutif halal tidak seharusnya terhad kepada pengurusan dokumentasi dan pematuhan keperluan pensijilan, sebaliknya turut merangkumi penerapan nilai integriti, kebersihan, kelestarian dan kesihatan.

Dalam pada itu, beliau berkata pelancaran GHS, inisiatif Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre (UHAC), diharap dapat memperluas pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai halal.

Beliau berkata platform itu berpotensi membantu mempersiap lebih ramai individu yang mempunyai pengetahuan serta pemahaman mengenai pelbagai aspek halal.

PEH26 menghimpunkan eksekutif halal, pemain industri dan pihak berkuasa agama bagi membincangkan isu, keperluan semasa serta hala tuju pembangunan industri halal negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement