KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengemukakan beberapa cadangan utama untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027, termasuk penggunaan dron bagi operasi pembenihan awan serta pemetaan menyeluruh deposit unsur nadir bumi (REE).
Menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata penggunaan teknologi dron bagi operasi pembenihan awan dilihat perlu berikutan kejadian jerebu dan cuaca kering yang semakin kerap akibat perubahan iklim, selain mampu mengurangkan kebergantungan kepada aset ketenteraan yang melibatkan kos tinggi.
“Ketika ini, kita tidak mempunyai aset sendiri yang khusus digunakan untuk pembenihan awan kerana sebelum ini operasi itu hanya dilakukan secara bermusim.
“Namun, disebabkan perubahan iklim, pemanasan global dan jerebu, kita melihat keperluan untuk melaksanakan pembenihan awan dengan lebih kerap, sedangkan kos menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara berterusan agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog Kelab Concorde bertajuk “Building A Resilient Malaysia: Environment, Climate And Our Future” yang dikendalikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai di Wisma Bernama hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Arthur berkata operasi pembenihan awan secara konvensional ketika ini menelan belanja lebih RM100,000 bagi setiap operasi susulan peningkatan kos bahan api, dengan kadar kejayaan antara 50 hingga 70 peratus bergantung pada arah angin dan kelembapan atmosfera.
Mengenai pemetaan deposit REE, beliau berkata peruntukan Kerajaan Persekutuan diperlukan bagi membolehkan pemetaan tepat sumber berkenaan dilaksanakan, sekali gus membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan memudahkan rundingan berkaitan pemindahan teknologi.
“Deposit unsur nadir bumi negara mempunyai potensi yang sangat baik, tetapi untuk kita bergerak ke hadapan dan menarik pelabur asing yang tepat, kita perlu mempunyai gambaran lebih jelas mengenai lokasi deposit berkenaan,” katanya.
Selain itu, Arthur berkata kementerian turut memohon peningkatan peruntukan bagi Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT), yang menyediakan geran tunai secara langsung kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan usaha pemuliharaan setempat, mewujudkan koridor hidupan liar serta menjalankan inisiatif penghutanan semula.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia masih belum berdepan keadaan paling buruk akibat jerebu dan cuaca kering, dengan tempoh kemarau berpanjangan serta suhu tinggi dijangka berterusan sehingga pertengahan 2027 susulan fenomena Super El Nino.
Beliau berkata corak cuaca itu berpotensi menyebabkan negara mengalami tempoh paling panas dan kering pernah direkodkan, sekali gus meningkatkan kos ekonomi tidak langsung.
Arthur berkata kerajaan telah mengambil pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian bagi mengira kesan kewangan yang lebih luas akibat cuaca ekstrem, termasuk peningkatan kos tenaga susulan penggunaan pendingin hawa yang lebih kerap serta kos dalam sektor pertanian.
Beliau berkata sektor pertanian khususnya dijangka berdepan pengurangan hasil yang ketara, selain peningkatan kos intervensi bagi memastikan operasi pertanian dapat diteruskan sepanjang tempoh cuaca kering berpanjangan itu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen pada Jumaat ini.
-- BERNAMA