ISKANDAR PUTERI: Belanjawan 2022 bagi negeri Johor yang dibentangkan hari ini merupakan belanjawan defisit iaitu sebanyak RM286.47 juta.

Ia merupakan belanjawan defisit untuk dua tahun berturut-turut.

Pembentangan itu menyaksikan peningkatan defisit sebanyak RM38.33 juta berbanding belanjawan tahun lalu RM248.14 juta.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, dengan tema belanjawan 'Memperhebat Kesejahteraan Johor', pada Belanjawan Johor 2022 unjuran hasil negeri adalah RM1.671 bilion sementara jangkaan perbelanjaan pula sebanyak RM1.958 bilion.

"Walau bagaimanapun, anggaran hasil dan defisit kami ini tertakluk kepada tahap ketidakpastian yang tinggi, disebabkan beberapa faktor seperti kemungkinan kemunculan varian baharu dan impak sosioekonominya.

“(Selain itu), keadaan ekonomi peringkat negara dan antarabangsa (dan) pembukaan sempadan antarabangsa terutamanya dengan Singapura," kata Hasni.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, pada Khamis.

Bagi perbelanjaan mengurus 2022, beliau berkata, sebanyak RM1.087 bilion diperuntukan.

Sementara, RM870 juta pula diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan, yang bakal digunakan bagi melaksana empat impetus dan 12 agenda utama dalam belanjawan tersebut.

Keempat-empat impetus itu ialah memperkasa perlindungan sosial dan pemberdaya modal insan, mempertingkat jaminan bekalan makanan Johor, memperluas pendigitalan dan memperbaharui ekosistem pelaburan dan ekonomi hijau.

Menyentuh mengenai prestasi pelaksanaan Belanjawan Johor tahun ini, Hasni berkata, sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus pelaksanaan setakat suku ketiga tahun 2021.

Selepas mengalami penguncupan 4.6 peratus pada tahun 2020, ekonomi negeri Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5 sehingga 4.1 peratus pada tahun ini dan dijangka terus mengalami pertumbuhan pada tahap pra-krisis pada separuh tahun hadapan.