Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[BELASUNGKAWA] Tun Dr Siti Hasmah: Lambang wanita berbudi, bunga bangsa yang tidak terganti

Tun Dr Siti Hasmah Friends of BN - Barisan Nasional
Negara kehilangan bunga bangsanya. Seorang suami kehilangan cinta abadinya. Namun budi, kasih sayang dan kebijaksanaan Dr Siti Hasmah akan terus hidup dalam ingatan rakyat Malaysia sepanjang zaman.
Advertisement

NEGARA berduka.

Dengan pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Malaysia bukan sahaja kehilangan seorang tokoh wanita yang disegani, tetapi turut kehilangan sebutir mutiara bangsa yang selama ini menghiasi perjalanan negara dengan budi pekerti, kebijaksanaan dan kasih sayang yang tiada batas.

Bagi jutaan rakyat Malaysia, beliau dikenali sebagai doktor yang berjasa, pendidik yang berbakti dan isteri setia kepada seorang negarawan yang mengukir sejarah negara.

Namun bagi saya yang pernah beberapa kali berpeluang mendekati beliau sebagai wartawan, Dr Siti Hasmah ialah wajah kelembutan yang tidak pernah meminta untuk disanjung, tetapi sentiasa dihormati.

Beliau tidak pernah meninggikan suara untuk didengari.

Beliau juga tidak pernah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan penghormatan.

Sebaliknya, beliau menakluki hati manusia melalui sifatnya yang sederhana, tulus dan sentiasa menghargai setiap insan yang hadir di hadapannya.

Saat berita pemergiannya tersebar, ingatan saya terus melayang ke satu kenangan yang sudah lebih dua dekad tersimpan kemas di sudut hati.

Pada tahun 2004, ketika bertugas di akhbar Kosmo!, saya diberi tanggungjawab menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa yang menemukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dr Siti Hasmah bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Bagi orang lain, ia mungkin hanya sebuah majlis berbuka puasa biasa.

Namun bagi saya, petang itu memperlihatkan sisi paling indah seorang wanita bernama Dr Siti Hasmah.

Saya masih dapat melihat suasananya seolah-olah ia baru berlaku semalam.

Di hadapan saya bukan sekadar duduk seorang bekas Perdana Menteri bersama isterinya.

Di hadapan saya duduk dua insan yang memancarkan kasih sayang yang begitu tulus dan jujur.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah melayan Siti Nurhaliza bukan sebagai seorang selebriti terkenal yang disanjung ramai.

Mereka menyantuninya seperti anak sendiri.

Penuh mesra, penuh perhatian dan penuh kasih sayang.

Sesekali terdengar usikan lembut yang mengundang ketawa dan muncul pertanyaan yang menggambarkan keprihatinan.

Image
AWANI
Gambar kenangan ketibaan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah ke majlis berbuka puasa bersama penyanyi Siti Nurhaliza pada 2004.

Dan sepanjang pertemuan itu, terpancar bahagia yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Namun yang paling terpahat dalam ingatan saya ialah sosok Dr Siti Hasmah sendiri.

Beliau tidak pernah cuba menjadi pusat perhatian, lebih banyak mendengar daripada berbicara dan menatap wajah orang yang bercakap dengan penuh perhatian.

Allahyarham membuatkan setiap orang merasakan diri mereka penting.

Dalam dunia yang sering meraikan mereka yang lantang bersuara, Dr Siti Hasmah mengajar bahawa kelembutan juga mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

Sebagai wartawan, saya pernah berdepan ramai tokoh besar.

Tetapi tidak ramai yang memiliki bakat luar biasa untuk membuatkan orang lain berasa dihargai seperti yang dilakukan oleh beliau.

Petang itu kami duduk semeja, berbuka puasa bersama dan berbual serta ketawa bersama.

Dan tanpa saya sedari ketika itu, saya sebenarnya sedang mengumpul sebuah kenangan yang akan kembali mengetuk pintu hati saya pada hari-hari yang penuh kesedihan seperti hari ini.

Apabila mengenang semula momen tersebut, saya tidak melihat seorang tokoh negara.

Saya melihat seorang ibu dan wanita yang menjadikan kasih sayang sebagai bahasa hidupnya.

Saya melihat seorang insan yang percaya bahawa penghormatan tidak datang daripada gelaran, tetapi daripada cara kita melayan manusia lain.

Mungkin itulah sebabnya rakyat begitu menyayanginya.

Beliau menjadikan sesiapa sahaja yang berada di sekelilingnya berasa seperti keluarga.

Beliau menyebarkan rasa tenang tanpa perlu berkata banyak.

Beliau mengajar tentang adab tanpa perlu memberi syarahan.

Dan beliau menunjukkan makna ihsan melalui setiap tindakan yang kecil tetapi begitu besar ertinya.

Kehilangan buat Dr Mahathir

Namun, di sebalik kesedihan yang sedang dirasai seluruh rakyat Malaysia hari ini, ada seorang insan yang pastinya menanggung kehilangan yang jauh lebih mendalam.

Buat negara, kita kehilangan seorang tokoh.

Tetapi buat Dr Mahathir, beliau kehilangan teman hidup yang menemaninya selama lebih tujuh dekad.

Beliau kehilangan sahabat yang berjalan seiring dengannya sejak usia muda.

Dr Mahathir kehilangan wanita yang menyaksikan setiap jatuh bangun kehidupannya.

Beliau kehilangan insan yang berada di sisinya ketika belum ada kekuasaan, ketika nama belum dikenali dan ketika perjalanan hidup masih panjang terbentang di hadapan.

Mereka membina kehidupan bersama sejak zaman mahasiswa.

Berkongsi impian, membesarkan keluarga, mengharungi ujian dan mencipta sejarah.

Dan melalui semua itu, mereka tetap berjalan beriringan.

Ada cinta yang lahir kerana pesona.

Ada cinta yang tumbuh kerana kebiasaan.

Namun, cinta mereka barangkali lahir daripada persahabatan, kesetiaan dan pengorbanan yang dipupuk sepanjang masa.

Sepanjang saya melihat mereka dalam pelbagai majlis dan kemunculan awam, ada sesuatu yang sentiasa jelas pada pandangan mata.

Dr Siti Hasmah bukan sekadar isteri kepada seorang negarawan.

Beliau ialah tempat pulang bagi seorang lelaki bernama Mahathir.

Di saat dunia melihat ketegasan seorang pemimpin, beliau melihat sisi manusia yang tidak dapat dilihat orang lain.

Di saat negara menuntut tenaga dan fikirannya, Dr Siti Hasmah sentiasa berada di sisi, menjadi pendamping yang memahami tanpa perlu terlalu banyak bicara.

Hari ini, buat pertama kalinya selepas lebih 70 tahun berjalan bersama, Dr Mahathir perlu meneruskan perjalanan hidup tanpa wanita yang selama ini menjadi sebahagian daripada setiap hela nafas kehidupannya.

Pastinya akan ada pagi yang terasa lebih sunyi dan ada ruang yang terasa kosong.

Image
AWANI/SHAHIR
Dr Mahathir merenung ke arah jenazah isteri tercinta, Allahyarham Dr Siti Hasmah di kediaman mereka di Seri Kembangan, hari ini. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

Dan pastinya akan ada saat-saat tertentu apabila ingatan tentang senyuman, suara dan gelak tawa Dr Siti Hasmah hadir tanpa diundang.

Kerana kehilangan yang paling berat bukanlah apabila seseorang itu pergi.

Tetapi apabila kita terpaksa meneruskan kehidupan tanpa insan yang selama ini sentiasa ada di sisi.

Hari ini Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang luar biasa.

Namun seorang suami kehilangan cinta abadinya.

Seorang sahabat kehilangan teman paling akrab.

Dan seorang lelaki kehilangan sebahagian daripada jiwanya.

Sesungguhnya, Dr Siti Hasmah bukan sekadar doktor yang berbakti kepada masyarakat.

Bukan sekadar pendidik yang mencurahkan ilmu.

Bukan sekadar isteri yang setia mendampingi seorang negarawan.

Beliau ialah lambang wanita berbudi.

Beliau ialah wajah kelembutan yang begitu jarang ditemukan.

Beliau ialah bunga bangsa yang mekar dengan akhlak, kebijaksanaan dan kasih sayang, lalu meninggalkan haruman yang akan terus kekal dalam ingatan rakyat Malaysia.

Selamat bersemadi, Tun Dr Siti Hasmah.

Negara berkabung atas pemergianmu.

Dan di suatu sudut yang paling sunyi, seorang suami pasti sedang merindui seorang wanita bernama Siti Hasmah Mohd Ali, cinta yang menemaninya sepanjang perjalanan hidup. 

Al-Fatihah...

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement