KUALA LUMPUR: Berada di perantauan dan kali pertama menyambut Ramadan di negara asing, ujian keimanan tidak pernah melemahkan semangat tinggi belia Malaysia yang menjalani latihan di akademi tentera di Amerika Syarikat (AS).

Selepas menjalani latihan kurang setahun di luar negara, kadet Malaysia Zarif Mohd Zamrin dan Edlan Mikyad Ahmad Syamly, 21, mendapati bulan mulia bagi umat Islam memberi makna luar biasa bagi mereka.

Bagi Zarif, yang kini mengikuti latihan di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, hakikat bahawa ramai rakan seangkatan di AS tidak tahu bagaimana umat Islam berpuasa pada Ramadan mempunyai cabarannya tersendiri.

"Pengalaman di sini pasti berbeza. Ramai orang di sini tidak sedar bahawa ini adalah bulan Ramadan atau adanya bulan puasa seperti itu.

"Ia satu pengalaman yang menarik dan saya melihat semua orang yang saya temui menyesuaikan diri dengan mereka yang berpuasa.

"Memandangkan saya dalam latihan ketenteraan, latihan masih diteruskan tetapi ia tidak keterlaluan.

"Sokongan yang saya dapat daripada rakan-rakan saya di sini amat menggalakkan dan mereka amat memahami," kata Zarif kepada Bernama, ketika dihubungi menerusi Instagram baru-baru ini.

Sambil menyifatkan sembilan bulan di akademi itu suatu perjalanan yang bermakna, Zarif yang berasal dari Subang Jaya berkata dia berbangga dengan kemampuannya dapat meneruskan ibadah puasa meskipun menjalani latihan yang ketat.

"Saya berbangga dengan diri sendiri kerana saya mampu berpuasa, malah lebih berbangga kerana rakan-rakan saya sukar untuk mempercayai bahawa saya mampu melakukan semua rutin latihan semasa berpuasa.

"Saya gembira kerana saya terus menjalankan ibadah berpuasa seperti yang diamalkan di Malaysia, di mana pihak akademi tidak menjadikan puasa sebagai alasan dalam rutin latihan kami yang padat sebagai kadet," tambah anak kedua daripada empat beradik itu.

Walaupun suasana Ramadan di AS tidak sama seperti di kampung halamannya, Zarif berkata dia tidak pernah merasa diketepikan oleh rakan-rakan Islam lain di akademi itu.

"Lazimnya, saya hanya menjalankan rutin biasa bersahur, latihan ketenteraan serta membuat kerja rumah pada waktu petang. Untuk berbuka puasa, saya berbuka puasa bersama masyarakat Islam di USAFA," katanya sambil menambah impiannya adalah untuk menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, Edlan Mikyad, yang berada di Akademi Tentera Amerika Syarikat di West Point, New York, kisah Ramadannya dipenuhi dengan banyak pertukaran budaya, maklumat dan amalan yang baik dengan rakan-rakan Amerikanya.

Edlan Mikyad yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia kagum dengan usaha rakan-rakannya di akademi itu untuk turut berpuasa dari subuh hingga terbenamnya matahari.

"Ramai rakyat Amerika di sini beranggapan bahawa puasa Ramadan adalah serupa dengan amalan Kristian yang dipanggil "lent" dan apabila saya menunjukkan kepada mereka perbezaan antara keduanya, mereka mula memahami bagaimana umat Islam berpuasa.

"Saat paling membanggakan saya ialah meyakinkan rakan-rakan lain untuk mencuba berpuasa pada hari itu dan berbuka puasa bersama persatuan kadet Islam di sini.

Saya rasa ia sangat memuaskan dan bermanfaat," tambah Edlan Mikyad.

Dengan Aidilfitri yang semakin kunjung tiba, Zarif mengucapkan: "Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia di dalam dan luar negara. Kongsi semangat raya dengan semua orang yang anda kenali. Saya bangga jadi rakyat Malaysia!".

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua anggota yang kini berkhidmat tanpa rakan dan keluarga mereka semasa musim cuti," kata Edlan Mikyad, ketika diminta menyatakan hasrat kepada semua rakyat Malaysia.

Edlan Mikyad dan Zarif adalah antara empat pelajar Malaysia yang cemerlang dan diterima melanjutkan pelajaran di akademi perkhidmatan berprestij di AS pada Jun 2022.

Kedua-dua Edlan Mikyad dan Zarif yang merupakan bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan menamatkan pengajian di akademi masing-masing pada 2026.

-- BERNAMA