Skip to main content

Malaysia

Bella Astillah hadir beri sokongan, mohon doa buat Syed Saddiq

bella astilah, syed saddiq
Bella Astillah (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini, bagi mengikuti keputusan rayuan akhir pendakwaan melibatkan empat pertuduhan jenayah yang dihadapi tunang beliau, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, menjadi tumpuan bagi mengikuti keputusan rayuan akhir pendakwaan melibatkan empat pertuduhan jenayah yang dihadapi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kehadiran aktres popular, Bella Astillah, yang juga tunang kepada Syed Saddiq, mencuri perhatian pengamal media.

Bella, 33, yang tampil berbaju kurung kuning, tiba di pekarangan mahkamah pada jam 7.50 pagi bersama adiknya, Didi Astillah, bagi memberikan sokongan moral.

Ketika dihampiri media, Bella hanya memberikan ulasan ringkas dan memohon doa orang ramai agar segala urusan dipermudahkan.

“Doakan yang terbaik... saya masuk ke dalam (mahkamah) dahulu,” katanya ringkas.

Turut kelihatan hadir seawal jam 7.15 pagi adalah ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman bin Syed Abdullah dan Sharifah Mahani binti Syed Abdul Aziz.

Keputusan hari ini bakal menentukan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau perlu menjalani hukuman penjara atas pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.

Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.
 

Must Watch Video

Advertisement