KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang untuk kembali melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana penggunaanya bersifat luas dan bukan masa sesuai memperkenalkan semula.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini kerana kerajaan mengambil kira kesan terhadap rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup ketika ini.

"Walaupun kadar inflasi 2023 secara purata adalah 2.5 peratus, tetapi bagi makanan dan minuman hampir 5 peratus. Kategori ini adalah yang lebih dirasai oleh rakyat jelata dan antara faktor dikekalkan kadar cukai perkhidmatan kepada 6 peratus untuk makanan dan minuman.

"Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik kadar cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai penggunaan baharu seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST)," katanya.

Amir Hamzah berkata demikian sebagai menjawab soalan Rodziah Ismail (PH- Ampang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan iltizam dan kesediaan kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan lebih banyak alternatif percukaian progresif seperti Cukai Harta Pusaka dan Cukai Keuntungan Modal terlebih dahulu sebelum melaksanakan semula GST di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan telah mengambil pendekatan yang berperingkat dengan meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai lebih kemampuan terlebih dahulu.

Tambah beliau lagi, walaupun kadar cukai perkhidmatan telah meningkat dari 6 ke 8 peratus, cukai perkhidmatan elektrik hanya dikenakan atas pengguna domestik melebihi 600 kilowatt sejam iaitu golongan 15 peratus pengguna terbesar.

"Untuk baki 85 peratus pengguna itu pula, tiada cukai perkhidmatan dikenakan atas bil elektrik. Di samping itu bil air dikecualikan daripada cukai perkhidmatan," kata beliau lagi.