KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai sebarang keputusan setakat ini berhubung cadangan supaya mengasingkan kutipan hasil duti eksais produk minuman keras daripada Kumpulan Wang Disatukan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

"Ketika ini duti eksais yang lain seperti duti kenderaan bermotor, rokok dan produk tembakau serta produk minuman bergula, dan juga kutipan duti eksais bagi produk minuman keras dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan, digunakan untuk menampung perbelanjaan kerajaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk mengasingkan wang cukai daripada minuman keras daripada Kumpulan Wang Disatukan dan hanya digunakan untuk projek pembangunan bagi golongan bukan Islam.

Yamani Hafez berkata pada 2010 sehingga September 2021, kerajaan mengutip sebanyak RM20.11 bilion duti eksais daripada produk minuman keras dengan purata kutipan tahunan RM1.68 bilion.

"Kutipan duti eksais ini melibatkan semua jenis produk minuman keras yang diimport dan dikilangkan di negara ini," katanya.

-- BERNAMA