ISKANDAR PUTERI: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi di bawahnya masih belum mengadakan perbincangan mengenai cadangan pelaburan melibatkan Saudi Aramco di Kemaman, Terengganu.

Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya bersedia menerima cadangan dan berbincang dengan syarikat minyak dan gas terbesar di dunia itu.

Beliau berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Saudi Aramco sudah pun mempunyai pelaburan bersama di Pengerang, Kota Tinggi sejak tahun 2017 melibatkan pelaburan yang cukup besar iaitu tujuh bilion dolar Amerika Syarikat.

"Kalau mereka (Saudi Aramco) hendak pergi Terengganu dan teruskan pelaburan di Malaysia maka MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa mengalu-alukan pelaburan itu.

"Mungkin (perbincangan) dengan pihak Petronas sudah ada tetapi (perbincangan) di pihak MITI dan MIDA, kita (perbincangan) belum ada lagi.

"Di Pengerang, (pelaburan) memang sudah ada tetapi di Terengganu, kita masih lagi menunggu," kata Tengku Zafrul kepada pemberita di Taman Teknologi Nusajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan sebuah pusat data di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta Saudi Aramco untuk melabur di Kemaman, Terengganu.

-- BERNAMA