Skip to main content

Malaysia

Belum sepenggal mentadbir, Anwar berjaya pacu Malaysia jadi 30 ekonomi terbesar dunia - Penganalisis

PUTRAJAYA, 9 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan kenyataan bersama selepas pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul di Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA
Kata Nurul Ainun, sewajarnya, Perdana Menteri dan barisan Kabinet terus diberikan peluang untuk mentadbir Malaysia berbekalkan rekod pentadbiran yang cekap juga mula diyakini oleh sektor perniagaan domestik serta luar negara. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum pun sepenggal mentadbir negara berjaya memacu ekonomi Malaysia dalam landasan betul untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia.

Pensyarah Kanan (Ekonomi), Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Selangor, Nurul Ainun Ahmad Atory berkata, kecekapan mentadbir, kestabilan politik dan sosial, peningkatan daya saing negara dan keyakinan berterusan oleh kerajaan asing serta pelabur luar yang berjaya ditunjukkan oleh Perdana Menteri dan barisan Kabinet MADANI wajar diteruskan untuk penggal seterusannya.

Kata beliau, sewajarnya, Perdana Menteri dan barisan Kabinet dalam Kerajaan MADANI terus diberikan peluang untuk mentadbir Malaysia berbekalkan rekod pentadbiran yang cekap juga mula diyakini oleh sektor perniagaan domestik serta luar negara.

"Dari aspek ekonomi, aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 30 ekonomi terbesar dunia bukan sesuatu yang mustahil sekiranya momentum pertumbuhan negara dapat dikekalkan secara konsisten.

"Hakikatnya, Malaysia bukan sahaja perlu berkembang, tetapi harus berkembang dengan lebih pantas, produktif dan berdaya saing berbanding ekonomi pesaing.

"Dalam konteks ini, kestabilan politik, kejelasan dan kesinambungan dasar, tadbir urus yang baik serta keyakinan pelabur domestik dan asing merupakan antara asas penting kepada pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Nurul Ainun, kekuatan Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka juga perlu terus dimanfaatkan melalui hubungan ekonomi yang pragmatik dengan kuasa-kuasa ekonomi utama dunia.

Katanya, keupayaan Malaysia mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat, China, India serta pasaran-pasaran lain membolehkan negara mempelbagaikan sumber pelaburan dan pasaran eksport, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

"Kekuatan pendekatan ekonomi MADANI ialah pertumbuhan tidak seharusnya dinilai daripada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kedudukan ekonomi dunia semata-mata.

"Pertumbuhan yang berkualiti perlu bersifat holistik dengan memastikan peningkatan pelaburan dan aktiviti ekonomi turut diterjemahkan kepada produktiviti yang lebih tinggi, penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, pengukuhan perusahaan tempatan dan akhirnya peningkatan taraf hidup rakyat," jelasnya.

Sebelum ini, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Malaysia berpotensi menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia sekiranya pertumbuhan tahunan KDNK nominalnya mengatasi negara-negara lain sekurang-kurangnya dua mata peratusan.

Beliau ialah Pengerusi Cypark Resources Bhd, IOI Corporation Bhd, WWF-Malaysia dan MySDG Foundation selain berkhidmat sebagai Pengerusi Bersama Sunway Bhd serta Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia.

Pada masa sama, kata Nurul Ainun, Malaysia perlu terus meningkatkan daya saing tanpa mengabaikan kecekapan penggunaan sumber, inovasi hijau, peralihan tenaga dan kelestarian jangka panjang.

Justeru jelasnya, kesinambungan reformasi ekonomi, kestabilan pentadbiran dan keyakinan pelabur perlu terus dipertahankan bagi memastikan momentum yang sedang dibina dapat diteruskan.

Must Watch Video

Advertisement