KUALA LUMPUR:Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) meminta kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) kepada warga industri kreatif bagi meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup.

Menurut Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah yang mewakili 7,000 ahli dari industri itu, pihaknya akan akur dan sentiasa patuh dengan arahan kerajaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Seniman akur dan sentiasa patuh dengan arahan pihak kerajaan sepanjang tempoh PKP ini namun warga kerja industri kreatif di Malaysia ini kebanyakannya berkerja secara freelance atau job basis.

“Apabila dikuatkuasakan PKP, kami tidak lagi dibenarkan menjalankan penggambaran dan tiada pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kami juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak kami serta hutang yang perlu dijelaskan,” jelas Hafiz dalam kenyataan yang diedarkan pada Jumaat.

BACA: PKP: Finas mohon MKN benarkan aktiviti penggambaran 

BACA: Tiga persatuan gesa Finas kaji penamatan keahlian melalui program Padu Citra 

Sehubungan itu, beliau merayu kepada pihak kerajaan untuk menetapkan SOP secepat mungkin dan percaya bahawa industri berkenaan merupakan salah satu sektor penting dalam negara.

“Seniman percaya industri kreatif juga adalah sektor yang penting dalam negara, seperti mana yang umum ketahui sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kepada kes harian COVID-19 di Malaysia.

“Setiap hari dan mereka masih dibenarkan untuk terus beroperasi, jika sektor ini dibenarkan beroperasi mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi.

“Dalam tempoh yang amat mencabar ini, pihak penerbit juga terikat dengan kontrak bersama dengan stesen televisyen yang mempunyai tarikh akhir untuk menyiapkan sesebuah karya.

“Seniman sangat bimbang dan risau dengan ahli-ahli kami yang semakin terhimpit akibat wabak COVID-19 disebabkan tiada tawaran kerja yang menyebabkan keadaan kehidupan mereka semakin tertekan,” rayunya lagi.

Beliau dalam masa sama menuntut agar kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia termasuk mereka yang berada di dalam industri kreatif yang amat terjejas sekiranya terus tidak dibenarkan menjalankan penggambaran secepat mungkin.