KUALA LUMPUR:Tiga persatuan mewakili penggiat seni perfileman menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengkaji semula keputusannya tidak lagi mewajibkan pelakon, pekerja dan pengarah filem menyertai mana-mana persatuan yang diiktiraf Finas seperti dalam program Padu Citra sebelum ini.

Dalam satu sidang media maya, di sini, pada Rabu, wakil Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Seniman Malaysia (Seniman) berpendapat langkah itu tidak adil.

"Kami rasa ia tidak adil. FDAM, Profima dan Seniman memandang serius perkara ini kerana ia akan menjejaskan kerjaya 28,000 ahli kami yang bekerja sepenuh masa dalam industri filem dan penyiaran tempatan," kata Presiden FDAM Ahmad Ibrahim.

Beliau berkata pihaknya telah mengutus surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (Finas) Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berhubung perkara berkenaan, bagaimanapun belum mendapat maklum balas.

Ahmad berkata sekiranya Finas meneruskan tindakan menamatkan syarat keahlian Padu Citra, Profima, Seniman dan FDAM akan terus berjuang menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

Sebelum ini, Ahmad Idham dilaporkan berkata mesyuarat Ahli Perbadanan Finas memutuskan untuk mengukuhkan semula pelaksanaan program Padu Citra selaras dengan pelaksanaan program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif yang sedang dijalankan melalui pengemaskinian keahlian baharu serta penamatan keahlian Padu Citra sedia ada pada 1 Feb lepas.

Menerusi pengukuhan program Padu Citra ini, penerbit tidak lagi perlu memenuhi syarat keperluan keahlian karyawan, pelakon dan tenaga produksi projek penerbitan dalam FDAM, Profima dan Seniman seperti yang dinyatakan dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) bermula 1 Feb 2021.

Sementara itu, menurut Presiden Seniman Rozaidi Jamil setiap tindakan Finas memberi impak kepada setiap ahli dalam industri kandungan kreatif, justeru perbincangan lanjut serta kesepakatan perlu dicapai bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan.

Presiden Profima Kapten Khir Mohd Noor pula berkata tindakan untuk mengakreditasikan semua penggiat seni satu langkah positif, bagaimanapun maklumat lanjut perkara itu perlu didedahkan secara lebih mendalam serta faedah yang akan diperoleh bagi memastikan semua pihak mendapat manfaatnya.

-- BERNAMA