KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) solat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu dikaji semula dengan membenarkan saf dirapatkan ketika solat berjemaah.

Ini kerana, kata Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee, umat Islam termasuk para asatizah melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan pendirian pihak berkuasa agama yang dilihat tidak begitu cakna dengan perkembangan semasa.

"Dalam hal ini, saya mencadangkan supaya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) segera mengkaji semula SOP solat berjemaah di seluruh masjid dan surau di Kuala Lumpur.

"Berdasarkan kepada penurunan bilangan kes pandemik COVID-19 di negara ini, saya berpandangan tidak perlu lagi kepada penjarakan fizikal ketika solat berjemaah di masjid dan surau.

"Lagipun, ada sesetengah negeri difahamkan telah membenarkan solat berjemaah di masjid merapatkan saf seperti tuntutan dalam agama," katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyuarakan pandangan itu menerusi catatan terbaharu di laman Facebook miliknya hari ini. 

BACA: JAWI benarkan solat Jumaat ikut kapasiti dan semua aktiviti imarah masjid

BACA: 
Masjid Negara sambut baik kebenaran berjemaah ikut kapasiti namun jemaah diingatkan patuhi SOP

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail menjelaskan, semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah mengikut kapasiti keluasan dengan mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelasnya, kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan sosial satu meter.

Syed Ali menegaskan, langkah mengkaji semula SOP itu perlu, juga bagi mengelak persepsi negatif dan fitnah berhubung ketertiban dalam melakukan ibadat solat berjemaah.

"Saya dimaklumkan, umat Islam dan tokoh-tokoh agama serta para asatizah mula mempertikaikan kenapa solat berjemaah di masjid dan surau masih dikekalkan dengan syarat SOP yang ketat.

"Sedangkan, dalam masa yang sama, aktiviti sosial dibenarkan termasuk stadium bola sepak dengan kehadiran ribuan penonton.

"Jika ribuan penonton dibenarkan hadir ke stadium dan aktiviti sosial dilonggarkan, kenapa untuk solat berjemaah di masjid dan surau masih diperketatkan?" soal beliau.

Syed Ali berkata, pihak MAIWP, Pejabat Mufti dan Menteri Hal Ehwal Agama sewajarnya mencari kata sepakat dengan rasa bertanggungjawab untuk membenarkan saf solat berjemaah dirapatkan semula.

Ia demi kemuliaan dan kesucian agama Islam daripada berterusan menjadi bahan sindiran dan fitnah oleh sesetengah pihak," tambahnya.

Sehubungan itu Syed Ali juga berharap pihak berkenaan menyembah maklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung cadangan merapatkan saf solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.