Skip to main content

Politik

UMNO 80 tahun: Ahmad Zahid garis lima aspirasi UMNO dalam tempoh dua dekad akan datang

KUALA LUMPUR, 2 Mei -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan penuh keyakinan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini, yang mencerminkan semangat serta iltizam untuk memperkukuh perpaduan dan hala tuju parti sempena ulang tahun ke-80 UMNO.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan penuh keyakinan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di WTCKL, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima aspirasi utama yang perlu digalas parti itu dalam tempoh dua dekad akan datang bagi memastikan kelangsungan peranan dan kerelevanan dalam landskap politik negara.

Presiden UMNO itu berkata, antara keutamaan tersebut ialah memperkasa dakwah bagi memelihara akidah, menegakkan syariah serta memuliakan akhlak, di samping memastikan UMNO terus menjadi induk kepada kestabilan politik negara.

Advertisement

"Ketiga, menjadi 'talent factory' yang melahirkan cendekiawan, pakar pelbagai bidang dan intelektual berkemahiran yang menguasai teknologi masa depan.

"Keempat, menyatukan fikrah kepimpinan bangsa Melayu. Manakala, kelima, menyuburkan budaya ilmu dan tafaqquh untuk merencana dasar dan membentuk kefahaman umat," katanya dalam ucapan penggulungan sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, usaha berkenaan penting bagi memastikan UMNO terus berperanan sebagai parti yang bukan sahaja memimpin, tetapi turut membina kekuatan intelektual dan nilai dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu memandang ke hadapan dengan lebih terancang selepas melalui pelbagai krisis dan perubahan, serta tidak hanya berfokus kepada kitaran pilihan raya semata-mata.

"Kejayaan sesebuah perjuangan tidak hanya diukur pada kekuatan institusi, tetapi kualiti manusia yang dibentuk untuk membina agama, bangsa dan negara.  

"Menjelang ulang tahun UMNO ke-100 nanti, mungkin saya tiada lagi di dunia ini. Namun, saya mengimpikan Melayu yang tidak luntur jiwa keIslamannya. Benar-benar memahami rukun agama, dan tidak terpisah dari jasad dan rohnya," ujarnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan turut mengimpikan anak-anak Melayu yang kental jati diri, menjaga maruah, tinggi adab serta berakhlak mulia.

"Saya mengimpikan Melayu yang bersepakat, menenun jaringan dan berpaut pada satu kekuatan.  

"Saya mengimpikan Melayu yang menjadi ikutan, menjadi tunjang kepada negara majmuk yang rencam, berbilang latar dan lapisan.  Ini lah generasi Melayu yang kita semua dambakan," katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid memaklumkan, dalam tempoh 20 tahun akan datang, UMNO perlu dipimpin oleh pemimpin muda dan parti Melayu itu terus kukuh di persada politik tanah air.

Must Watch Video