YAN: Pasukan Task Force Bencana Geologi, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesan sekurang-kurangnya empat kesan runtuhan tanah yang besar atau 'scar' di kawasan puncak Gunung Jerai.

Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan JMG, Ferdaus Abdullah berkata, runtuhan berkenaan dipercayai menjadi antara punca aliran puing dan lumpur di kaki gunung dalam kejadian fenomena kepala air dan banjir kilat di kaki gunung pada 18 Ogos lalu.

"Daripada pemandangan secara visual, (apa) yang saya nampak (di Gunung Jerai) sekurang-kurangnya ada empat kesan tanah runtuh yang besar, pada (sudut) gubir gunung tersebut, jadi berdasarkan maklumat daripada penduduk di sini asalnya kawasan 'scar' (runtuhan tanah) itu ditutupi dengan tumbuhan dan tanah,

"Selepas kejadian pada 18 Ogos itu keadaan batuan (runtuhan berkenaan) lebih luas," katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan awal di kawasan Titi Hayun, di sini, pada Sabtu.


Insiden Kepala Air | Cerita mangsa terselamat banjir di Yan

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Gunung Jerai: Dua mangsa hilang masih belum ditemukan

BACA: Bencana Gunung Jerai: Hampir RM5 juta peruntukan pulih kerosakan - KASA

Dalam pada itu, Ferdaus berkata pihaknya akan melakukan siasatan terperinci dalam masa terdekat termasuk mendapatkan laporan lengkap pemetaan yang akan dilaksanakan menerusi khidmat pasukan dron.

"Pada ketika ini kita masih jalankan siasatan, kita masih perlukan maklumat daripada dron untuk kita kenal pasti dekat mana sekiranya ada (kawasan yang menunjukkan kesan blockage) kita akan tandakan kawasan tersebut,

"Hasil daripada gambar udara yang akan kita ambil nanti, kita akan tandakan kawasan mana yang telah runtuh dan kita boleh dapat dia punya turutan sama ada berlaku banjir dahulu atau ada empangan (yang) seterusnya (mengakibatkan kejadian) kepala air.

"Jadi buat masa ini kita masih dalam siasatan dan perlukan bukti yang konkrit sebelum kita tentukan apa yang berlaku sebelum itu," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang pada Rabu, fenomena kepala air dan banjir lumpur berlaku di kawasan kaki Gunung Jerai yang menyebabkan lebih 20 kampung merangkumi kira-kira 800 keluarga terjejas di Yan, Gurun dan Merbok.