YAN: Seorang lelaki berusia 65 tahun menjadi mangsa pertama yang dipercayai lemas susulan kejadian kepala air yang berlaku di Kampung Setoi, di kaki Gunung Jerai di sini, pada Rabu.

Seorang lagi lelaki menjadi mangsa kedua, dengan mayatnya ditemui malam ini di atas gunung berkenaan. Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang ketika menuruni puncak gunung dengan menaiki motosikal, petang tadi.

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, seorang mangsa turut lain dilaporkan hilang dalam kejadian sama, selepas sebuah rumah di Chalet Salak Denai di kaki gunung itu, roboh.

Selain itu, katanya dalam kejadian tanah runtuh di jalan ke puncak Gunung Jerai, dua mangsa telah ditemui selamat.

BACA: Bencana: Kepala air landa kaki Gunung Jerai, akibatkan kerosakan, banyak kawasan banjir

BACA: Bencana: 3 diselamatkan, 1 masih hilang akibat kepala air di Gunung Jerai

BACA: Bencana Gunung Jerai: JBPM Kedah pergiat operasi bantu mangsa tanah runtuh, banjir kilat 


Bencana kepala air landa kaki Gunung Jerai, turut akibatkan banjir di kawasan sekitar

Terdahulu, lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai selain banyak kawasan perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air berkenaan kira-kira jam 3 petang tadi.

Bomba juga memaklumkan, tiga lelaki diselamatkan manakala seorang lagi masih gagal dikesan sehingga jam 6 petang tadi, selepas terperangkap ketika menaiki kenderaan dalam kejadian fenomena kepala air di atas gunung berkenaan.


Bencana kepala air landa kaki Gunung Jerai
 
Sementara itu, Sanusi berkata, dalam kejadian petang tadi, air mengalir laju turun ke kaki gunung yang melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi dengan laporan pertama berhubung kejadian diterima pada pukul 5.30 petang.

Antara kampung yang berada di kawasan kaki Gunung Jerai yang dilanda banjir adalah Kampung Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kg. Acheh dan Kampung Setoi.

Setakat ini, anggaran mangsa yang terlibat masih berada dalam siasatan.

Berdasarkan maklumat awal, seramai 60 mangsa perlu dipindahkan dalam kadar segera yang mana kesemua mereka ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan dan Sekolah Kebangsaan Teroi.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa mangsa mangsa di pusat pemindahan sementara banjir akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kumpulan individu yang positif COVID-19, kumpulan yang menjalani kuarantin dan penduduk biasa.