DUNIA
Kemboja perkenal ubat cegah HIV suntikan jangka panjang Cabotegravir

CAB-PrEP merupakan pilihan baharu untuk kumpulan berisiko tinggi bagi melindungi diri mereka daripada dijangkiti HIV dengan lebih berkesan. - Foto X/UNICEF HIV & AIDS
PHNOM PENH: Kemboja melancarkan ubat pencegahan HIV suntikan jangka panjang, Cabotegravir untuk Profilaksis Pra-Pendedahan (CAB-PrEP) pada Jumaat, yang menyasarkan individu berisiko tinggi dijangkiti HIV, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Kemboja lancar CAB-PrEP - Ubat suntikan pencegah HIV jangka panjang yang berkesan hingga 95% dan diberikan setiap dua bulan kepada individu berisiko tinggi.
- Negara pertama di rantau ini - Kemboja menjadi perintis memperkenalkan Cabotegravir di Asia Tenggara sebagai alternatif kepada PrEP oral.
- Sasaran rawatan HIV 95-95-95 - Kemboja komited capai sasaran menjelang 2025 dengan lebih 69,000 pesakit kini menerima rawatan antiretrovirus.
"CAB-PrEP merupakan pilihan baharu untuk kumpulan berisiko tinggi bagi melindungi diri mereka daripada dijangkiti HIV dengan lebih berkesan," katanya.
"Kemboja merupakan negara pertama di rantau ini yang melaksanakan suntikan Cabotegravir jangka panjang sebagai Profilaksis Pra-Pendedahan HIV," katanya lagi.
Sambath berkata pada fasa pertama, CAB-PrEP boleh diperoleh di Klinik Kebangsaan untuk AIDS, Dermatologi dan Penyakit Kelamin, Pusat Kesihatan Tuol Kork dan Persatuan Chhouk Sar di Phnom Penh.
Beliau berkata CAB-PrEP menyediakan pilihan baharu selain PrEP oral yang telah diperkenalkan di negara Asia Tenggara sejak 2019.
Sambath berkata Kemboja komited untuk mencapai sasaran rawatan HIV 95-95-95 menjelang akhir 2025.
Sasaran itu bermaksud 95 peratus individu yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka, 95 peratus daripada mereka yang mengetahui status HIV menerima rawatan antiretrovirus yang menyelamatkan nyawa, dan 95 peratus daripada mereka yang menerima rawatan berjaya mengekang tahap virus ke paras tidak dapat dikesan.
Menurut Pusat Kebangsaan HIV/AIDS, Dermatologi dan Penyakit Kelamin (NCHADS), Kemboja mempunyai kira-kira 76,000 individu yang hidup dengan HIV/AIDS, dengan 69,413 daripada mereka telah menerima rawatan antiretrovirus.
Kira-kira 7,000 orang masih tidak menyedari mereka dijangkiti HIV dan belum menerima rawatan antiretrovirus, menurut NCHADS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami