PUTRAJAYA: Sistem pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan, namun ia nampak seolah-olah statik di tempat yang sama terutama apabila negara lain dilihat melakukan pelbagai perubahan dasar pendidikan yang drastik.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, setiap perubahan yang dirancang untuk dilakukan berkaitan sistem pendidikan mengalami kesukaran untuk dilaksanakan kerana ramai yang takut untuk melakukan perubahan.

"Orang selalu tanya bila sekolah di Malaysia nak jadi macam negara luar seperti Norway, Finland, Australia, New Zealand atau UK, tetapi apabila kita bergerak ke arah itu, mulalah ada yang kata, apa menteri ini buat?

"Memang tak mudah untuk kita keluar dari zon selesa, selepas bertahun berada di situ, ia akan sukar kerana kita rasa situasi kita sudah bagus.

"Ada yang cakap sistem pendidikan Malaysia terkebelakang. Saya cakap tidak. Kita cuma tidak bergerak. Anda semua adalah produk sistem pendidikan tempatan, kita tidak ada masalah, cuma kita tidak bergerak selaju negara lain.

"Negara lain di rantau ini buat perubahan dalam dasar pendidikan mereka, mereka 'potong' kita tetapi kita stagnant kerana kita takut pada perubahan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Dialog Anak Muda Putrajaya Bersama Menteri Kanan Pendidikan anjuran Institut Masa Depan Malaysia, pada Sabtu.

Jelas Radzi, perubahan perlu dilakukan dengan keberanian dan tidak gentar mengambil risiko jika ia diyakini mampu memberi hasil yang dimahukan.

Konsep ideal dalam pembikinan sebuah polisi, tambahnya, hampir tidak wujud sebaliknya ia memerlukan kebijaksanaan pembuat polisi untuk menyelaras mengikut kesesuaian.

"Tak ada sesiapa yang boleh buat polisi dalam senario sempurna. Carilah negara paling hebat di dunia sekali pun, mereka takkan mampu buat polisi yang 100 peratus padan dengan keadaan sekeliling.

"Policy-making pasti akan ada kekangan. Nak buat begini, sangkut. Nak buat begitu, sangkut. Kalau kita ambil kira kekangan, kita kata tak boleh buat, tak boleh buat. Kerana, kita tak bersedia. Jadi, kena tunggu. Tetapi ingatlah, anda tak akan jumpa perfect setting itu.

"Apa yang perlu dilakukan apabila ada kekangan, ialah buat yang terbaik dalam lingkungan kekangan itu. Ia tidak sempurna tetapi kita pastikan ia lebih baik," katanya lagi.