SEOUL: Gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung Electronics mencatatkan lonjakan keuntungan operasi suku ketiga melebihi 780 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong oleh lonjakan permintaan terhadap semikonduktor kecerdasan buatan (AI).
Syarikat itu merupakan pengeluar cip memori terbesar dunia, iaitu komponen yang kini menerima permintaan tinggi susulan penggunaan cip memori berprestasi tinggi secara meluas dalam pusat data yang menyokong aplikasi AI, lapor AFP.
Samsung berkata dalam pemfailan kawal selia bahawa keuntungan operasi bagi tempoh Julai hingga September direkodkan pada 107.4 trilion won (kira-kira RM330 bilion), meningkat 783.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Firma itu berkata pencapaian tersebut menandakan kali pertama sebuah syarikat teknologi merekodkan keuntungan operasi suku tahunan melebihi 100 trilion won.
Keuntungan bersih turut melonjak kepada 75.1 trilion won, manakala jualan keseluruhan mencapai rekod tertinggi sebanyak 195.3 trilion won.
Walau bagaimanapun, keuntungan bersih syarikat itu dilaporkan lebih rendah daripada jangkaan pasaran.
Tinjauan ahli ekonomi Bloomberg sebelum ini mengunjurkan keuntungan operasi suku tahunan sebanyak 108.5 trilion won dan keuntungan bersih sekitar 89 trilion won.
Walaupun mencatat keuntungan operasi rekod, saham Samsung susut kira-kira 5 hingga 6 peratus dalam dagangan awal di Seoul pada Khamis selepas keputusan kewangan syarikat diumumkan.
Pelabur dilaporkan memberi reaksi terhadap keuntungan bersih yang lebih rendah daripada jangkaan pasaran serta prestasi lemah beberapa segmen perniagaan syarikat.
Persaingan global untuk membangunkan pusat data AI terus menyokong pertumbuhan Samsung dan pemain utama lain dalam sektor semikonduktor.
Namun, reaksi pasaran terhadap keputusan terbaharu syarikat itu menunjukkan pelabur masih berhati-hati terhadap prospek pendapatan dan penilaian sektor teknologi yang semakin meningkat.
Samsung berkata perniagaan cip memorinya mencatat satu lagi rekod suku tahunan menerusi pengurusan campuran produk dengan tumpuan terhadap produk berkaitan AI ketika kapasiti pengeluaran berdepan kekangan.
Menurut syarikat itu, momentum permintaan kukuh bagi pelayan turut menyumbang kepada peningkatan harga pasaran dalam semua segmen penggunaan.