Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas sejumlah 45 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana sebuah yayasan.

Beliau berdepan 10 pertuduhan pecah amanah wang milik Yayasan Akal Budi dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42 juta.

Selain itu, beliau turut didakwa atas 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta.

Mahkamah membenarkan Presiden UMNO itu diikat jamin RM2 juta bagi kesemua 45 pertuduhan.

Bekas timbalan perdana menteri itu dibenarkan membayar ikat jamin secara ansuran sehingga selewat-lewatnya 26 Oktober, dengan seorang penjamin, dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

BACA: Kronologi siasatan dan pendakwaan terhadap Zahid

Antara yang hadir mengikuti prosiding adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad.

Dalam pada itu, ahli keluarga Ahmad Zahid yang turut kelihatan ialah isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan tiga anaknya Datuk Nurulhidayah, Ahmad Khairul Hafiz serta Ahmad Khairul Haziq.

Ahmad Zahid menghadapi pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pihak pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram bersama Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Barisan pembelaan pula diketuai Hisyam Teh Poh Teik, diikuti Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Kitson Foong, Datuk Jagjit Singh Bant Singh dan Hamidi Mohd Noor.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipanggil untuk kali keenam bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi.

Ahmad Zahid menolak cadangan peguamnya supaya beliau memohon kebenaran untuk diikat jamin dan tidak ditahan semalaman di lokap SPRM.

Pada minggu lalu, beliau dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut selain untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu berhubung kes penyelewengan yayasan sama.

Selain Ahmad Zahid, turut dipanggil memberikan keterangan membabitkan kes itu ialah anak-anaknya, Nurulhidayah dan Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Mahkamah menetapkan 14 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.