IPOH:Seorang penoreh getah maut dipercayai dibunuh seorang penganggur yang menumbuk dan menghentak kepalanya menggunakan batu bata dalam pergaduhan di luar sebuah rumah di Kampung Lalang, Gerik petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata pihaknya menerima maklumat daripada ibu saudara suspek mengenai kejadian amukan itu pada 4 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kisah lama pergaduhan antara suspek lelaki berusia 30 tahun dan mangsa lelaki berusia 61 tahun sebelum berlaku pergaduhan di luar rumah mangsa pada kira-kira 12 tengah hari.

"Suspek bertindak menumbuk dan menghentak batu bata di kepala mangsa lalu terus melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Beliau berkata mangsa mendapat kecederaan parah, pecah di bahagian kepala akibat dihentak oleh objek keras dan tumpul serta disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Kampung Plang.

Katanya hasil soal siasat ke atas suspek, dia mengaku bergaduh dengan mangsa dan menghentak kepala mangsa menggunakan batu bata.

Menurut Anuar, polis membuat rampasan barang kes iaitu batu bata yang digunakan dalam kejadian berpandukan suspek di lokasi kejadian.

Polis akan membuat permohonan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

-- BERNAMA