Bergurau guna bakakuk, pelajar tingkatan dua maut terkena tembakan

Suspek menunjukkan lokasi kejadian mangsa tertembak semasa bergurau dalam kejadian di sebuah kampung di Keningau. - Foto Sinar Harian
KENINGAU: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas terkena tembakan ketika bermain menggunakan senapang jenis bakakuk bersama rakannya di rumah sebuah kampung di daerah ini, pada Ahad.
Ringkasan AI
- Pelajar Tingkatan Dua maut selepas terkena tembakan ketika bermain senapang bakakuk dengan rakannya di Keningau.
- Mangsa lelaki berusia 14 tahun alami 14 kesan tembakan; siasatan mendapati suspek dan mangsa bermain sembunyi-sembunyi sebelum senjata meletup secara tidak sengaja.
- Siasatan lanjut mendapati 14 kesan tembakan pada badan mangsa; kesemua suspek akan direman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Semasa kejadian, suspek ternampak mangsa sedang memegang bakakuk dan dia telah meminta senjata tersebut dengan tujuan untuk mengacah-acah sambil bergurau namun tanpa disedari di dalamnya terdapat sebutir peluru.
"Suspek dan mangsa bergurau dengan bermain sembunyi-sembunyi di bawah rumah. Bagaimanapun, tanpa suspek sedari telah tertekan picu senjata sehingga menyebabkan senjata tersebut meletup ke arah mangsa.
“Mangsa telah terbaring dan suspek panik lalu meminta bantuan dari penduduk kampung yang melintasi kawasan tersebut untuk bantuan menghantar mangsa ke hospital sebelum disahkan oleh doktor telah meninggal dunia pada jam 8.40 pagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Yampil berkata, hasil pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat luka atau bekas tembakan daripada peluru penabur jenis tidak pasti.
"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 14 kesan disyaki kesan tembakan iaitu lima pada bahagian dada sebelah kanan, empat pada bahagian lengan kanan, dua pada bahagian lutut kanan dan tiga di bahagian badan sebelah kiri pada tubuh mangsa.
"Dalam kejadian itu, adik suspek merupakan saksi yang berada di lokasi kejadian semasa tembakan dilepaskan oleh suspek, di mana dia berperanan menyembunyikan senjata tersebut di dalam bilik tidur bapanya iaitu suspek kedua.
"Dengan dipandu arah oleh suspek pertama, bakakuk berkenaan telah berjaya dikesan di lokasi kebiasaan menyimpannya," katanya.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati jarak tembakan dilepaskan oleh suspek adalah kira-kira tiga meter dari mangsa di kawasan hadapan rumah tersebut.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat dan kesemua ketiga-tiga suspek akan direman hari ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


