Skip to main content

Malaysia

Raja Puan Muda Perlis santuni peserta Program Paddy Rangers

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ditemani anakanda puteri kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Program Paddy Rangers yang berlangsung di Balbukhaus, Kampung Balik Bukit, Chuping, pada Sabtu.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ditemani anakanda puteri kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Program Paddy Rangers yang berlangsung di Balbukhaus, Kampung Balik Bukit, Chuping, pada Sabtu.
Advertisement

CHUPING: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke Program Paddy Rangers yang berlangsung di Balbukhaus, Kampung Balik Bukit, di sini, semalam.

Turut berangkat ialah anakanda puteri kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Program berteraskan pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) itu dianjurkan secara kolaboratif oleh Balbukhaus, Kebun Abi (ECOPRO) dan GRASS Malaysia Perlis dengan kerjasama strategik Jabatan Pertanian Negeri Perlis.

Advertisement

Seramai 40 kanak-kanak berusia antara enam hingga 15 tahun menyertai program tersebut yang bertujuan mendekatkan generasi muda dengan alam semula jadi, selain memberi pendedahan mengenai ekosistem pertanian serta kehidupan masyarakat desa, khususnya dalam industri penanaman padi.

Bagi menghidupkan suasana kehidupan kampung bendang, para peserta tampil mengenakan busana tradisional seperti baju kurung dan kain batik, sekali gus memperkenalkan warisan budaya masyarakat pesawah kepada generasi muda.

Advertisement

Program itu turut menjadi platform menghubungkan generasi digital dengan realiti kehidupan golongan pesawah, di samping menyemai penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan mereka dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti amali berkaitan proses penuaian dan pemprosesan padi, termasuk kaedah tradisional yang diwarisi turun-temurun.

Antara aktiviti dijalankan ialah memotong tangkai padi menggunakan sabit, meleraikan biji padi melalui kaedah lerek atau hirik, serta menampi menggunakan nyiru bagi memberi gambaran awal proses penghasilan beras sebelum melalui pemprosesan moden.

Peserta juga diperkenalkan kepada penggunaan mesin pemprosesan padi dan menyertai bengkel kreatif menghasilkan orang-orang mini menggunakan jerami padi.

Selain itu, mereka berpeluang merasai pengalaman menangkap ikan air tawar di petak sawah menerusi aktiviti gagau ikan menggunakan tangan dan serkap tradisional.

Bagi memperluas pengetahuan mengenai potensi sektor pertanian, program berkenaan turut menampilkan sesi perkongsian bersama usahawan tani muda daripada Abi Agro dan Hadri.

Jabatan Pertanian Negeri Perlis turut mengadakan pameran berkaitan penggunaan baja serta racun organik dan kimia bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan serta teknologi pertanian masa kini.

Penganjur berharap pengisian program itu dapat membuka perspektif baharu kepada peserta bahawa sektor pertanian bukan sekadar berteraskan amalan tradisional, sebaliknya terus berkembang seiring kemajuan teknologi dan inovasi, sekali gus menawarkan pelbagai peluang kepada generasi muda untuk menerokai bidang berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement