ALOR SETAR: Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhada (PKS) dalam usaha memulihkan kembali sektor berkenaan yang merupakan salah satu penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sektor terbabit juga merupakan penyumbang terbesar dalam menyediakan peluang pekerjaan di negara ini dengan 70 peratus tenaga kerja dalam sektor itu.

Tambah beliau, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif sebelum ini termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Katanya, terbaharu ialah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang bertujuan untuk memberi sokongan kepada PKS bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

"Kita dapat lihat PKS ini memang terkesan, oleh itu kita teruskan pertolongan (dalam menyediakan) peruntukan daripada kerajaan,

"Kita dapat lihat bahawa dalam (tempoh) PKP 2.0, banyak sektor-sektor yang masih lagi terkesan terutamanya sektor pelancongan (dan) sektor peruncitan.

"Jadi di sini dalam PEMERKASA (kerajaan) perlu memberi fokus yang lebih kepada sektor-sektor yang masih lagi terkesan walaupun (sektor) ekonomi (di Malaysia), lebih kurang 80 peratus sudah dibuka," katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Digital Pekan Rabu di Alor Setar pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap lebih ramai peniaga terlibat dalam perniagaan secara dalam talian yang mampu memberi perubahan positif kepada jualan masing-masing.