Skip to main content

Malaysia

Beri peluang belia tentukan hala tuju persatuan - Mordi

KBSMalaysia
Mordi hadir ke Program KIBAR Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 yang berlangsung di TVET MARA Balik Pulau, Pulau Pinang. - Gambar Faacebook KBSMalaysia
Advertisement

BALIK PULAU: Persatuan belia perlu memberi ruang kepada golongan muda untuk menentukan hala tuju organisasi bagi memastikan gerakan itu kekal relevan dan terus menarik penyertaan generasi baharu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata golongan muda mempunyai pelbagai idea kreatif yang boleh diketengahkan, selain berpotensi membawa pendekatan baharu dalam gerakan berpersatuan.

“Perkara paling penting ialah kita perlu memberikan peluang kepada mereka. Belia ialah pemimpin masa hadapan dan sebagai pemimpin hari ini, jika kita tidak memberi peluang, bagaimana mereka hendak mengembangkan potensi?

“Kebanyakan persatuan belia sekarang masih dikemudikan oleh golongan senior. Jadi, kita mahu memberikan peluang sepenuhnya kepada anak muda supaya mereka boleh menentukan hala tuju persatuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai usaha menarik minat generasi Z menyertai persatuan dan aktiviti belia pada sesi dialog santai sempena Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di TVET MARA Balik Pulau di sini hari ini.

Mordi berkata golongan muda bukan tidak berminat menyertai persatuan, sebaliknya mereka mungkin tidak mengetahui peranan yang boleh dimainkan dalam organisasi berkenaan.

Beliau berkata sehubungan dengan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan golongan muda menubuhkan serta mengendalikan persatuan mengikut aspirasi dan keperluan mereka, bukan berdasarkan kehendak golongan lebih berusia.

Pada masa sama, katanya, majoriti belia di lapangan tidak menganggotai mana-mana persatuan belia formal, sekali gus berisiko tercicir daripada mendapat maklumat, bantuan dan latihan kepimpinan.

Sementara itu, Mordi berkata KIBAR diwujudkan sebagai platform mesra belia untuk menarik golongan itu menyertai aktiviti secara berstruktur tanpa perlu berdepan birokrasi rumit, selain membimbing belia yang tidak berpersatuan menjadi ejen komuniti berjati diri serta memiliki kemahiran kepimpinan.

Beliau berkata program itu antara lain turut menjadi wadah untuk kerajaan mendengar sendiri pandangan dan aspirasi belia di peringkat akar umbi serta memastikan pelbagai program dan inisiatif sampai kepada kumpulan sasaran, dengan segala input yang diterima akan diperhalusi bagi menambah baik dasar KBS serta peruntukan program pada masa hadapan.

Terdahulu, program sehari itu dihadiri 500 peserta terdiri daripada pemimpin pertubuhan belia, sukarelawan Rakan Muda serta wakil agensi kerajaan melibatkan pelbagai pengisian antaranya pameran interaktif bersama agensi, e-sukan, sukan rakyat dan aktiviti kesukarelawanan belia, manakala Pulau Pinang menjadi negeri penganjur siri ke-10 daripada keseluruhan 17 siri KIBAR di seluruh negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement