Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyeru masyarakat supaya memberi peluang kedua kepada bekas penagih dadah di negara ini agar golongan itu boleh berjaya dan maju dalam bidang yang diceburi.

"Semua orang melakukan kesilapan. Kita tidak harus bermasam muka dengan mereka tetapi menyokong mereka agar menjadi individu yang lebih baik," titah baginda pada program 'Hope & Prosperity' bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini hari ini.

Kira-kira 40 penghuni Pusat Pemulihan Rumah Victory, One Way Home dan Pusat Penjagaan Komuniti Christian menghadiri majlis anjuran bersama Komuniti Belia Selangor (SAY), Gateway@klia2 dan AirAsia itu.

Tengku Amir yang juga Presiden Eksekutif SAY mengingatkan bahawa kebanyakan daripada orang yang berjaya akan membuat kesilapan dalam hidup tetapi kuncinya adalah 'untuk terus bangkit semasa anda jatuh'.

"Kita mahu dan perlu belajar bersama-sama. Kita perlu menyokong antara satu sama lain sebagai sebuah komuniti bagi membantu memudahkan peralihan mereka (bekas penagih) selepas keluar dari rumah pemulihan untuk memulakan rutin harian normal," titahnya.

Pada majlis itu juga, Tengku Amir Shah turut berkenan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Segi Value Holdings Sdn Bhd, Bifrost Group dan Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia.

MoU itu bertujuan membantu bekas penagih dadah dengan menyediakan program latihan dan perantisan bagi penghuni yang menamatkan program pemulihan selama dua tahun.

Raja Muda Selangor kemudian dibawa melawat ke pusat latihan kemudahan AirAsia, Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia, dan melihat simulasi penerbangan.

Bertitah kepada pemberita selepas lawatan itu, Tengku Amir berharap lebih banyak syarikat di Selangor akan bekerjasama dengan Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia dan memberi peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah.

Komuniti SAY merupakan organisasi tidak berasaskan keuntungan dan bukan kerajaan, bertujuan untuk mewujudkan masyarakat belia, oleh belia untuk belia.

-- BERNAMA