Sektor swasta dalam bidang minyak dan gas perlu memberi pertimbangan seadilnya kepada kebajikan pekerja jika langkah mengurangkan kakitangan perlu dilakukan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata antara yang boleh dilakukan adalah memberi pampasan sewajarnya kepada para pekerja untuk meneruskan kehidupan sementara mereka memohon pekerjaan yang lain.

"Apa yang kita mesti sedar bahawa sektor minyak dan gas ini permintaannya di luar daripada kawalan kita, faktor-faktor luaran yang tak boleh kita kawal.

"Tidak ada mana-mana kerajaan di dunia yang boleh menjamin apabila sesebuah sektor itu menguncup dari segi permintaan. (Tetapi)... semua pekerja perlu kita lindungi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Khairiah Mohamed pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Khairiah ingin tahu bagaimana kerajaan memastikan kebajikan para pekerja sektor itu terjaga dan pada masa yang sama mengukuhkan sektor minyak dan gas negara.

Menurut Perdana Menteri, negara maju seperti Amerika Syarikat dan beberapa syarikat multinasional seperti BP, Shell dan Exxon Mobil turut mengurangkan tenaga kerja.

Menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman Abdul berhubung tindakan jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara terhadap hasil minyak dan gas, Najib berkata kerajaan telah melaksanakan langkah kepelbagaian sumber hasil negara.

"Sebagai perbandingan, pada awal 2009, hasil negara daripada punca minyak dan gas melebihi 40 peratus, kini dalam sekitar lebih kurang 21 peratus. Oleh itu langkah kepelbagaian telahpun menunjukkan hasil.

"Selain itu, kita terpaksa melebarkan lagi asas cukai kita kerana hanya 10 peratus sahaja daripada mereka yang bekerja membayar cukai. Maknanya daripada 13 juta orang yang bekerja, hanya 1.3 juta bayar cukai," katanya.

Beliau berkata kerajaan turut melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sumber yang boleh mengukuhkan hasil negara.