KUALA LUMPUR: Graduan ijazah sarjana muda kelas pertama tanpa mengambil kira status ekonomi, bangsa dan agama mereka dikecualikan daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, keistimewaan itu diberikan semula kepada peminjam yang menamatkan pengajian bermula pada tahun 2019.

Sehubungan itu, beliau berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung perkara tersebut terutamanya dari segi peruntukan yang terlibat.

“Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka.

Kerajaan kecualikan bayaran balik pelajar dapat ijazah kelas pertama

“Saya juga melihat PTPTN telah memberikan tumpuan kepada aspek penabungan dalam kerjasama strategik.

“Justeru, PTPTN juga boleh melaksanakan inisiatif yang sama untuk meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, PTPTN telah membantu lebih 3.67 juta rakyat meneruskan pengajian dengan keseluruhan berjumlah RM66.87 bilion sehingga kini.

BACA: RM1.9 bilion bayaran balik pinjaman diterima berakhir 30 Apr lalu - PTPTN

Tambahnya, ramai yang telah menamatkan pengajian dan memperolehi pekerjaan yang baik dan beliau menegaskan, pembayaran balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar baharu.

“Saya difahamkan, sehingga akhir bulan lepas, lebih 2 juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM 17.8 bilion.

“Terima kasih saya ucapkan kepada para peminjam yang komited membuat bayaran balik.

“Bagi yang belum berbuat demikian, saya menasihatkan supaya melunaskan pinjaman agar proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya tidak tertangguh,” ujarnya.

PTPTN | Lancar logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun

Dalam ucapan sama, Ismail Sabri Yaakob turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi PTPTN yang baharu, Apli Yusoff yang memulakan tugasnya pada 18 Julai lepas.

“Dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, saya yakin beliau mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik di PTPTN.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga PTPTN atas segala khidmat bakti, dan komitmen yang dicurahkan sejak 25 tahun penubuhan PTPTN untuk memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.